RANAU: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas lori treler dipandunya yang membawa muatan tiang elektrik, terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter dekat sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 30 Jalan Ranau-Telupid dekat Kg Nabutan Ranau sekitar jam 8.30 pagi.
“Panggilan diterima melalui talian balai dan sekumpulan lapan anggota yang diketuai oleh saya sendiri sebagai Komander Operasi bersama empat pegawai kanan bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi sejauh 30km, kami mendapati kemalangan membabitkan lori treler yang membawa muatan tiang elektrik konkrit terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter.
“Pemandu tertimbus di bawah lori. Kami cuba mengeluarkan mangsa dengan mengorek tanah menggunakan peralatan khas tetapi gagal,” katanya.
Menurut Ridwan, pasukannya yang turut diiringi enam anggota polis kekal di lokasi kejadian sementara menunggu bantuan kenderaan berat berupa kren dari Kota Kinabalu.
“Kren itu tiba di tempat kejadian pada jam 6 petang dan kerja-kerja mengangkat lori dijalankan tetapi tidak berjaya.
“Pada pukul 7.50 malam, teknik ditukar dengan mengalihkan kira-kira 70 tiang konkrit, dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan pada pukul 2.50 pagi dengan menggali timbunan tanah menggunakan peralatan khas,” katanya.
Ridwan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan pada 3.12 pagi Jumaat,” katanya, menambah lima ahli keluarga mangsa turut berada di tempat kejadian.
Sementara itu, beliau menyeru semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu merentasi daerah ini, terutama di jalan kampung yang sempit dan berselekoh.
“Orang ramai diminta lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan cuaca hujan selain jalan rosak atau kurang dibaik pulih,” katanya.