Kota Kinabalu: Adun Api-Api Datuk Seri Christina Liew menggesa pihak berwajib memastikan tiada gangguan bekalan air semasa perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) akan datang.
Beliau membuat gesaan itu awal minggu ini selepas melakukan kunjungan mesra di daerah pusat perniagaan (CBD) di sini untuk menyampaikan beg cenderahati perayaan kepada pekedai dan peniaga, serta mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada mereka.
“Ahli komuniti perniagaan menyatakan kebimbangan mereka kepada saya mengenai kemungkinan terputusnya bekalan air semasa perayaan itu,” katanya sambil menambah ini akan menyebabkan banyak kesulitan.
Bekalan air tidak menentu antara aduan yang diterima Liew ketika bertemu rakyat di kawasannya.
Beliau diiringi oleh Setiausaha Politik-nya Vivien Lee Mee Peng dan pasukan kebajikan.