TAWAU: Empat lelaki suspek pengedar dadah diberkas polis bersama sejumlah 3,058.05 gram syabu bernilai RM180,000 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, dua daripada suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun itu merupakan warga tempatan, manakala dua lagi adalah rakyat asing – seorang pekerja syarikat kereta terpakai dan seorang penganggur.
Menurutnya, dua suspek pertama diberkas dalam serbuan sebuah rumah di Jalan Kuhara sekitar jam 5 petang 19 Januari lalu yang membawa kepada rampasan 2,039.64 gram dadah bernilai RM120,000.
Hasil soal siasat, dua lagi subahat mereka yang dipercayai sedang menghala ke Tawau dari Lahad Datu, ditangkap pada jam 12.10 pagi 20 Januari di dalam sebuah Perodua Bezza di KM 60 Jalan Semporna-Tawau.
“Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau yang membuat serbuan itu, menemukan sejumlah 1,018.41 gram dadah bernilai RM60,000 di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Selasa lalu.
Jasmin berkata, salah seorang suspek didapati memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan air kencing diuji positif dadah.
“Polis masih menyiasat sumber dadah diperoleh yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga awal Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata polis tidak menolak wujudnya jaringan dalam kes pengedaran dadah tersebut yang dihantar selepas menerima pesanan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada penduduk daerah ini yang tampil memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek pengedar dalam dua serbuan berturut-turut.