TAWAU: Kerajaan Negeri diminta memperuntukkan bajet mencukupi dalam Belanjawan Negeri untuk menangani bencana, dan bukan semata-mata mengharapkan peruntukan daripada kerajaan pusat.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, bencana tidak terduga seperti banjir, kebakaran dan tanah runtuh bukan hanya berlaku tahun ini tetapi mungkin pada masa akan datang.
Beliau berkata, persediaan awal amat penting dan bukannya bertindak hanya selepas bencana berlaku, khususnya di daerah-daerah yang sering dilanda banjir seperti Kota Marudu, Pitas, Kimanis, Beaufort, Lahad Datu dan Kalabakan.
Beliau turut berharap Kerajaan Negeri menguruskan dengan baik peruntukan RM25 juta yang diumum Perdana Menteri kepada mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
“Saya juga berharap dalam suasana sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini, kesatuan rakyat terus diperkukuh dan tidak berpecah-belah kerana kita mahu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada media selepas berucap pada Majlis Rumah Terbuka TBC Parti Warisan (Tawau) di sini.
Dalam pada itu, Presiden Parti Warisan itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 cukup penting untuk masa depan negeri ini dan rakyatnya, khususnya landskap pembangunan Sabah.
“Sabah sudah diperintah banyak parti seperti PBS, Berjaya, Usno, Barisan Nasional (BN) dan kita (Warisan) pun pernah dua tahun, tetapi satu tahun kita berdepan Covid-19 dan kecemasan sehingga kita tidak mempunyai masa yang mencukupi membangunkan negeri.
“(Kemudian) ada pula orang-orang (Adun) kita dibeli sehingga menjejaskan kestabilan politik dan membantutkan usaha membangunkan Sabah,” katanya.
Mohd Shafie berkata, Warisan akan mewujudkan semula Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan.
“Kita mahu memastikan kerajaan mampu memantapkan sektor pendidikan anak-anak Sabah dan kita juga mahu memastikan kita mampu mewujudkan cadangan pembinaan kilang pembuatan ubat generik di negeri ini, khusus untuk membantu masyarakat yang kurang keupayaan kewangan,” katanya.
Malah, pihaknya turut merancang pembangunan pusat industri makanan laut di Tawau bagi meningkatkan ekonomi setempat.