Tuaran: 10 sekeluarga bernasib baik terselamat selepas rumah mereka dihempap sebatang pokok akasia berukuran 15 meter yang tumbang akibat hujan lebat di Kampung Kelawat, Jalan Tamparuli-Ranau pada Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sebuah kenderaan turut musnah namun tiada kecederaan awam dilaporkan berlaku.
Pengadu dikenali Leary, 36, berkata dia dan keluarganya berada di dalam rumah ketika kejadian.
Katanya, pada awalnya, dia yang berada di ruang dapur terkejut mendengar dentuman kuat dan menyangka gempa bumi berlaku, lalu bergegas keluar dari rumah bersama ahli keluarganya.
"Kami semua bergegas keluar dan terkejut melihat satu pokok besar bersaiz dua setengah meter lebar tumbang di atas rumah.
"Akibat kejadian itu, bahagian ruang tamu musnah dan satu kereta Proton Saga BLM mengalami kerosakan teruk.
"Mujurlah, keluarga saya selamat dan tiada yang cedera dalam kejadian itu,” tambahnya, yang menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan.
Sementara itu, Pegawai APM Tuaran, Jimmy Alberto Tining berkata, selepas menerima aduan jam 8.33 malam, sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian.
"Pasukan APM bertindak menggunakan pemotong kayu untuk mengalihkan pokok tumbang dan mengambil masa kira-kira dua jam sehingga operasi selesai," katanya, menambah operasi ditamatkan jam 12.04 tengah malam.
Di KUALA PENYU, sebatang pokok tumbang di Jalan Palu-Palu pada awal pagi Selasa lalu, sekali gus menghalang lalu lintas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Palu-Palu Awang Ramzaini Ramlie.
Kejadian berlaku kira-kira 4.30 pagi susulan angin kencang.
“Ramai penduduk yang hendak ke masjid untuk menunaikan solat Subuh telah terhalang,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu Nelson Ponji berkata sejurus menerima panggilan, pihaknya mengerahkan sebuah pasukan bersama jentera FRT dan EMRS ke lokasi kejadian.
Pasukan itu kemudiannya menggunakan gergaji berantai untuk memotong serta membersihkan jalan raya tersebut.