PENAMPANG: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Darell Leiking agar berhenti menyalahkan pihak lain atas masalah banjir di sini.
Katanya, banjir yang berlaku adalah hasil kegagalan Darrel selama bertahun-tahun untuk menangani isu itu dan sepatutnya mula mengambil tanggungjawab.
Beliau berkata, ia ironik apabila Darell tiba-tiba menjadi pakar dalam masalah banjir di Penampang apabila hampir satu dekad beliau gagal mengatasinya ketika menjadi Ahli Parlimen Penampang dari 2013 hingga 2022, termasuk sebagai Menteri Persekutuan dari 2018 hingga 2020.
“Selama 10 tahun, rakyat Penampang dan Moyog memberikan mandat kepadanya, namun daripada memberi tumpuan kepada penyelesaian sebenar, beliau hanya membuang masa dengan berpolitik, mencari alasan, dan menuding jari,” kata Caesar.
“Adakah beliau berusaha mendapatkan peruntukan persekutuan untuk menaik taraf sistem perparitan di Penampang? Tidak.
Adakah beliau menggunakan pengaruhnya sebagai Menteri Persekutuan untuk memastikan pelan mitigasi banjir dilaksanakan? Tidak. Adakah beliau benar-benar memperjuangkan rakyatnya ketika beliau mempunyai kuasa? Jelas sekali tidak.
“Sekarang, apabila beliau tidak lagi berada di Parlimen, tiba-tiba beliau berpura-pura prihatin,” kata Ceasar dalam satu kenyataan, Ahad.
Caesar berkata tidak seperti Darell, Ahli Parlimen Penampang ketika ini Datuk Ewon Benedick bekerja keras untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan oleh kegagalan Warisan.
“Sejak memegang jawatan, Ewon secara aktif berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mencari penyelesaian sebenar bagi masalah banjir, sesuatu yang Darell gagal lakukan,” katanya.
Ceasar berkata rakyat Penampang dan Moyog berhak mendapat pemimpin yang lebih baik, bukannya seseorang yang hanya muncul ketika musim pilihan raya untuk menuding jari.
“Sudah tiba masanya beliau berundur dan memberi laluan kepada pemimpin sebenar, pemimpin yang bekerja, bukan sekadar bercakap,” katanya.