Kota Kinabalu: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang menyiasat aduan daripada pelancong mengenai pemandu pelancong di platform Xiao Hong Shu (Little Red Book) serta dakwaan mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang kurang memuaskan di sebuah resort pulau.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, bahawa pihak pengurusan resort terlibat mengakui kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelancong terjejas.
“Kami mengambil semua maklum balas dengan serius dan telah mengambil tindakan segera untuk menangani perkara ini. Saya telah mengarahkan CEO STB untuk menyiasat punca sebenar dakwaan terbabit bagi menentukan kesahihannya serta menyelesaikan isu ini dengan cepat.
Jika terbukti benar, tindakan sewajarnya seperti mengenakan penalti harus diambil.
“Kami tidak boleh membiarkan pengalaman negatif pelancong mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan yang ideal. Kami komited untuk menjaga reputasi Sabah dan mengekalkan standard perkhidmatan tertinggi bagi setiap pelawat.
“Saya difahamkan bahawa pihak resort juga sedang menjalankan siasatan dalaman dan cuba menghubungi pelancong terjejas bagi memahami situasi dengan lebih jelas serta mengambil langkah untuk menyelesaikannya,” kata Liew dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Menteri itu, STB bertindak segera dengan menghubungi pihak resort sebaik sahaja menerima aduan terbabit.
“Pengurusan resort berkenaan memberi jaminan kepada kementerian saya bahawa mereka mengambil serius aduan pelancong dan telah memulakan semakan dalaman terhadap standard perkhidmatan mereka,” katanya.