Kota Kinabalu: Seorang penunggang motosikal berusia 30-an maut, dipercayai selepas terlanggar lubang di lorong tengah jalan raya berhampiran Jejambat Jalan Lintas di Lido, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata laporan diterima pada 11.15 pagi.
Siasatan awal menunjukkan mangsa lelaki itu dalam perjalanan dari arah City Mall ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
“Selepas terlanggar lubang itu, mangsa terbabas sejauh kira-kira enam meter sebelum jatuh ke atas jalan dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 1.35 tengah hari akibat kecederaan parah di kepala.
Kasim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.