NABAWAN: Penduduk di daerah ini mempersoalkan kelewatan penaiktarafan jambatan Sungai Pancuran Nabawan yang kontraktornya sudah dilantik.
Menurut papan tanda projek di Kilometer 0.20 Jalan Nabawan Township itu, tarikh mula pembinaannya pada 25 Mac 2024 dan tarikh siap pada 25 September 2025.
Bagaimanapun, sehingga kini kerja-kerja pembinaannya belum bermula.
Ini menimbulkan persoalan penduduk di daerah ini, dan ada yang mempersoalkan sama ada jambatan ini benar-benar akan dibina atau sebaliknya.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan, Ahmad Fairuz Yunus ketika dihubungi berkata, kelewatan pembinaan naiktaraf jambatan itu disebabkan isu pemindahan utiliti yang belum selesai.
Katanya, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) belum menghantar dokumen terkini skop dan pengalihan utiliti mereka kepada JKR.
"Pada pihak JKR pula, kami kini dalam penyediaan kertas kerja VO (Variation Order) untuk kerja tambahan yang diperlukan bagi laluan sementara semasa pembinaan berjalan nanti," katanya.
Jelas Fairuz, VO adalah fenomena biasa dalam projek pembinaan. Ia melibatkan pindaan skop kerja asal, seperti dalam kontrak, dan boleh juga disebabkan oleh pelbagai faktor.
Tambahnya, pihak JKR sudah menghantar surat pemberitahuan kepada Ibu Pejabat Telekom Malaysia (TM) di Kuala Lumpur kerana agensi ini mempunyai utiliti di lokasi pembinaan.