Kota Kinabalu: Seorang penjawat awam berusia 35 tahun didakwa atas 16 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi penginapan hotel bernilai RM17,094.39.
Sharin Lusiyau mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, terhadap semua pertuduhan yang dihadapinya pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-16, Sharin sebagai akauntan di cawangan Jabatan Perbendaharaan Negeri Sabah di Tawau, didakwa mengemukakan resit hotel palsu menggunakan empat nama berbeza, termasuk namanya sendiri, walhal tiada seorang pun daripada mereka yang benar-benar menginap di hotel berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Februari hingga Ogos 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 9 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.
Sharin dibebaskan dengan jaminan RM12,000, dengan RM2,000 perlu didepositkan kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan Sharin untuk melapor diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, serta memberi amaran agar tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang prosiding kes berlangsung.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee melakukan pendakwaan manakala peguam Martin Tommy mewakili Sharin.