KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew menggesa timbang rasa dan belas kasihan pada pihak Air Asia untuk menggunakan jambatan udara sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), untuk keselesaan dan kemudahan penumpang, terutamanya pengembara rentan, warga emas dan kurang upaya.
Beliau menegaskan kemudahan itu, walau apa pun, sudah tersedia di KKIA, dan berharap Pengurusan AirAsia akan mengutamakan keperluan untuk menyediakan perkhidmatan baik kepada penumpang.
“Saya menerima aduan daripada warga emas dalam penerbangan AirAsia, mengenai ketidakselesaan dan kesulitan kerana terpaksa berjalan agak jauh dari bangunan Terminal ke pesawat yang menunggu, kemudian bergelut untuk menaiki anak tangga untuk menaiki pesawat.
“Marilah kita mengambil berat terhadap kesukaran yang dihadapi penumpang warga emas dan orang kurang upaya, dan mengelak daripada menyebabkan mereka menghadapi masalah tambahan sebelum dan selepas penerbangan mereka,” kata Liew dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Memandangkan Pengurusan KKIA tidak diberi kuasa untuk memaksa pesawat menggunakan jambatan udara, Menteri menggesa Kementerian Pengangkutan Persekutuan (MOT) mempertimbang untuk melaksanakan kuasanya demi kepentingan kesejahteraan warga emas dan orang kurang upaya.
Difahamkan, Kementerian Pengangkutan Sarawak berjaya memaksa pesawat AirAsia menggunakan jambatan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.