SANDAKAN: Awang Hadwanizam Awang Damit dari Sandakan dan Siti Ainul Suffiah Fattonah Masran dari Beluran masing-masing muncul johan qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Bahagian Sandakan 2025 di Dewan Masjid Daerah Sandakan pada Jumaat.
Manakala johan qari dan qariah kategori remaja masing-masing menjadi milik Muhammad Iqmal Hidayat Tarib dan Barizah Habbati Rizlan.
Muhammad Nur Yaasir Belding muncul johan hafazan.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk, Datuk Samad Jambri.
Hadir sama, Adun dilantik Jaffari Walliam, Pengerusi Pelaksana yang juga Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Farizal Setoh, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah, Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen, Pegawai Tadbir Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Rahmin Arman, bekas Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris dan jemputan lain.
Ketika ditemui media sejurus majlis itu, Samad berharap wakil dari Sandakan akan mampu menyampaikan bacaan yang baik dengan peserta yang lain pada majlis di peringkat negeri kelak.
Dalam pada itu, Samad juga mengalu-alukan sekiranya kategori veteran dapat dibuka. Selain itu, pihaknya turut menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai program tersebut.
Terdahulu, Farizal merakam penghargaan kepada semua yang menjayakan majlis itu dan pihaknya juga mendoakan agar wakil Sandakan akan muncul johan di peringkat negeri.
Manakala Rahmin berkata, pentingnya setiap wakil memahami syarat penyertaan yang telah ditetapkan dan merakam ucapan penghargaan kepada semua terlibat.
Majlis itu disertai peserta dari enam kawasan termasuk Beluran, Kinabatangan, Tongod, Telupid, Sandakan dan Paitan yang diwakili johan qari dan qariah setiap bahagian.