Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkasakan lagi saluran aduan rakyat sedia ada melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain memastikan penguatkuasaan harga barangan lebih efisien, usaha itu juga bagi meningkatkan lagi kesedaran hak rakyat sebagai pengguna.
Menurutnya, aduan berkaitan sebarang elemen pencatutan di saluran KPDN sedia ada masih kurang kerana tahap kesedaran yang masih rendah di kalangan pengguna.
Ekoran itu katanya, ia menyukarkan penguatkuasaan tangkas KPDN untuk menangani isu itu dalam tempoh 24 jam sebagaimana ditekankan di bawah kepimpinan beliau.
“Sebab itu, saya telah maklumkan kepada KPDN di semua peringkat supaya kesedaran pengguna terhadap penggunaan saluran-saluran aduan sedia ada itu diperluaskan.
“Macam di Sabah ini, saya telah arahkan supaya informasi mengenai inisiatif ini dipaparkan melalui papan iklan (billboard) dan papan iklan LED sebagai antara cara meningkat kesedaran hak pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena ‘Back To School’ di ITCC, di sini, Ahad.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya mendapati masyarakat lebih gemar menularkan sebarang isu berkaitan pencatutan barangan tanpa maklumat lengkap hingga menyukarkan penguatkuasaan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai digesa menggunakan saluran aduan sedia ada dengan informasi lebih tepat bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan segera.
“Di bawah kepimpinan saya melalui program ‘Kita Gempur’, lagi banyak aduan lagi bagus sebab ia menggambarkan tentang kesedaran rakyat terhadap hak mereka sebagai pengguna.
“Saya tidak melihat bilangan aduan yang rendah itu penting bagi saya.. saya lagi suka supaya aduan lebih banyak, justeru buatlah aduan di saluran disediakan supaya kita ada rekod.
“Seterusnya, tindakan susulan dapat dibuat dalam tempoh 24 jam. Saya khuatir jika diviralkan, selain kurang maklumat, pihak yang disyaki akan sempat menyembunyikan kesalahan mereka,” tegasnya.
Terdahulu, Armizan turut menyampaikan Bantuan Rahmah Persekolahan kepada 100 kanak-kanak dan Bantuan Syabas kepada usahawan belia di majlis tersebut.