TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan, 12, cedera di kaki apabila tersepit pada van selepas terlanggar sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Abaca 2, dekat sini, tengah malam, pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas berkonsepkan Saver.
“Kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan selanjutnya,”katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Terdahulu, katanya, sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera dikerah ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan itu pada jam 11.57 malam.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah van yang melanggar lori, dan mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian kaki. Jemishin berkata, operasi itu ditamatkan jam 12.24 tengah malam (Ahad) selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.