TAWAU: Sebuah kedai menjual daging khinzir sejuk beku di Batu 3 Jalan Apas di sini, mengalami kerosakan apabila kereta dipandu seorang wanita warga emas, 62, merempuh pintu hadapan premis sekitar jam 7.30 pagi, pada Ahad.
Ketua polis daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata, wanita berkenaan yang menaiki kereta itu bersama seorang rakannya, 60an, meletakkan kereta di kawasan parkir hadapan kedai tanpa mematikan enjin.
“Apabila pemandu turun dari kenderaan jenis Proton Saga itu, dia terlupa untuk menukar gear ke ‘P’ menyebabkan kereta bergerak ke hadapan.

“Dalam keadaan panik, wanita itu masuk semula ke dalam kereta untuk mengawalnya daripada terus bergerak, namun, dikatakan tertekan pedal minyak lalu merempuh premis berkenaan,” katanya.
Jasmin berkata, kemalangan hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan dan premis tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu tanpa kecermatan hingga menyebabkan kemalangan.