Kota Kinabalu: Seorang lelaki rakyat Pakistan berusia 24 tahun yang memasuki negeri ini secara haram dan melanggar syarat dokumennya yang hanya membenarkan dia berada di Semenanjung Malaysia tetapi sebaliknya menetap di Sabah, didenda sebanyak RM3,500.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Zawar Ali yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.
Bagi pertuduhan pertama, Zawar didenda RM3,000 atau dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pada 14 Jan tahun ini, jam 11.20 malam, di Kedai Runcit Helal Enterprise, Kampung Sonduon, Kepayan, dekat sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia diperintahkan membayar denda lagi RM500 atau dipenjara tiga bulan kerana melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara yang hanya membenarkannya berada di Semenanjung Malaysia, tetapi dia sebaliknya menetap di Sabah.
Semasa mitigasi, Zawar yang tidak diwakili memohon agar hanya dikenakan denda.
Pihak pendakwaan pula menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap Zawar.
Sementara itu, seorang lelaki Filipina dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan kerana memasuki negeri ini secara haram dan masuk semula tanpa dokumen.
James Sampang yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya, dihukum penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama kerana masuk semula ke negeri ini secara haram selepas dihantar pulang ke negara asal pada 8 Dis 2022.
Dia dipenjara empat bulan lagi kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
James ditahan pada 25 Jan tahun ini, jam 10.22 pagi di tapak pembinaan pusat servis dan bilik pameran Toyota di Jalan Haji Akhbar Khan, Kampung Luangan, Beaufort.
Mahkamah memerintahkan James menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.