KUNAK: Syarikat konsesi penyelenggaraan jalanraya - Pembinaan Kekal Mewah bertindak pantas membaiki jalan berlubang yang digenangi air di Jalan Sapang 1 berdekatan Maybank cawangan Kunak di sini , hanya selepas dua jam aduan itu dikemukakan oleh pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah Kunak) kepada pihak berkenaan pada Khamis.
Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kunak, Mohd Nazri Pintal berkata aduan tersebut yang diajukan oleh Daily Express hari ini telah diambil perhatian serius oleh konsesi penyelenggaraan yang bertanggungjawab menyelia dan membaiki struktur jalanraya di kawasan perkadaran pihak berkuasa tempatan itu, di sini.
"Mereka (konsesi) memberi jaminan meneliti perkara ini dan akan bertindak segera membaiki lubang-lubang jalan itu", katanya ketika dihubungi.
Orang awam di sini menyifatkan media tempatan Sabah, Daily Express sebagai saluran aduan rakyat yang bagus dan berpengaruh sesuai dengan 'tagline' nya "Suara Tempatan Anda".
"Saya yakin Daily Express media berpengaruh dan profesional. Sebab itu kebanyakan aduan didengar dan masalah diatasi dengan pantas oleh agensi terlibat. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama", kata pengadu tersebut yang mengemukakan masalah berkaitan jalan rosak berlubang yang terbiar sejak sekian lama.