TAWAU: Seorang pemandu lelaki yang mabuk lalu merempuh lima kenderaan dan RHB Bank sehingga institusi kewangan itu rugi RM200 000 dihukum penjara sembilan bulan serta didenda berjumlah RM11,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas tiga kesalahan trafik.
Mohd Shafiezan Hassan, 25, yang merupakan bapa tunggal dua anak dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Don Stiwin Malanjum selepas mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya iaitu memandu dalam keadaan mabuk, memandu tanpa lesen dan kenderaan tidak diliputi insuran.
Dia didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol apabila didapati 243 miligram (mg) alkohol dalam 100mililiter (ml) darahnya iaitu lebih 193ml alkohol dalam darah yang melebihi had ditetapkan (50mg) ketika ujian pernafasan menggunakan alat EBA II dijalankan.
Bagi kesalahan ini, dia dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda sehingga RM30, 000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu dihukum penjara sembilan bulan dan didenda RM10, 000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar dan hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Bagi kedua-dua pertuduhan kedua (tiada lesen memandu) dan ketiga (kenderaan tiada insuran), Mohd Shafiezan didakwa melakukannya di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau pada jam 8.52 pagi pada 16 Januari 2025.
Mohd Shafiezan didenda RM300 atau satu minggu penjara dan didenda RM1, 000 atau dua minggu penjara dan hilang kelayakan memiliki atau mendapatkan lesen memandu selama 12 bulan, masing-masing bagi kesalahan mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 dan Seksyen 90 (1) APJ 1987.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Shafiezan yang memandu kereta jenis Proton Saga melanggar SST Room milik Bank RHB di Jalan Merdeka 3 selepas melanggar lima kenderaan awam yang parkir di kawasan tersebut iaitu Perodua Alza, Perodua Myvi, Proton Iswara, Toyota Vios dan Proton Saga.
Dia yang tidak diwakili merayu dijatuhkan hukuman ringan kerana dia merupakan bapa tunggal yang menyara dua anak serta lapan adik-beradiknya.
Dia juga mengaku trauma dan takut kerana pertama kali dihadapkan di mahkamah selepas ditanya majistret sebab tidak hadir pada sebutan kes pada Rabu sehingga satu waran tangkap terpaksa dikeluarkan.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Trafik, ASP Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai memberi pengajaran kepadanya dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama, apatah lagi kes itu melibatkan kepentingan awam dan tular di media sosial.
Dalam kes itu, katanya, tertuduh tiada lesen memandu dan menyuruh rakannya menyewa kereta utnuk kegunaanya sebelum terlibat kemalangan pada jam 4.15 pagi pada 29 Disember 2024 semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Batu, selepas berhibur di sebuah pusat hiburan.
“Tertuduh hilang kawalan pemanduan dan melanggar lima kenderaan awam serta SST Room milik Perbankan RHB Bank sehingga mengakibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada bank tersebut menerusi kos pembaikan RM200, 000, manakala, pemilik lima kenderaan yang tidak bersalah terpaksa menanggung kos pembaikan kenderaan mereka sendiri,” katanya.