SANDAKAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, menyeru Jabatan Air dan syarikat konsesi yang bertanggungjawab agar segera menjalankan penyelenggaraan lubang bor (borehole) di sekitar daerah ini bagi mengatasi masalah bekalan air yang semakin kritikal.
Beliau berkata demikian selepas melawat sebuah lubang bor yang terletak di dalam kawasan Kolej Vokasional Sandakan, Batu 2 pada Sabtu.
Difahami bahawa bekalan air bawah tanah melalui lubang bor tersebut merupakan antara salah satu penyumbang air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Hilltop yang kini ditutup ekoran sumber air yang tidak mencukupi.
Penutupan LRA Hilltop ini telah menjadi punca sebahagian besar kawasan di Sandakan, khususnya di pusat bandar sehingga kawasan Nam Tung mengalami gangguan bekalan air.
“Hasil lawatan ke LRA Hilltop yang lalu mendapati terdapat 10 lubang bor yang tidak berfungsi. Oleh yang demikian, Jabatan Air telah mengarahkan satu konsultan untuk menilai keadaan ini, dan hasil kajian menunjukkan bahawa tiga lubang bor masih boleh digunakan tetapi memerlukan penyelenggaraan segera,” katanya.