SANDAKAN: Kementerian Digital (KD) komited dalam memberikan fokus kepada sektor-sektor yang memerlukan teknologi baharu di negara ini.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata, pihaknya membawa mesej itu kepada sektor-sektor tersebut melalui program seperti Jelajah Malaysia Digital (JMD) yang dilaksanakan dengan kerjasama kementerian berkaitan di seluruh negara.
Jelasnya, tujuannya adalah untuk membawa perhatian kepada sektor-sektor tertentu tentang kewujudan teknologi baharu yang boleh membantu mereka memperkembang serta meningkatkan lagi prestasi perniagaan mereka, seiring pergerakan teknologi semasa.
“Saya berharap menerusi inisiatif ini, kita dapat lihat dalam enam bulan akan datang adanya perubahan, di mana kita lihat lebih fokus diberikan kepada teknologi baharu,” katanya.
Dalam konteks Sabah, beliau berkata, teknologi baharu ini dapat membantu setiap sektor, dan perbincangan dibuat dengan pihak kerajaan negeri untuk mengetahui apa yang diperlukan.
Antara yang dibangkitkan, katanya, ialah infrastruktur khususnya dalam memastikan adanya kesalinghubungan sekiranya hendak menggunakan teknologi itu.
“Justeru, kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diperlukan dalam memberi akses internet dan yang lain.
“Selain pertanian, sektor pelancongan, kesihatan dan pengangkutan juga antara yang penting untuk dibincangkan dalam memberikan akses kepada teknologi baharu di Sabah,” katanya sejurus program Jelajah Malaysia Digital (JMD)@Sabah di sini, Ahad.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe, Adun Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, Adun Kapayan merangkap Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang, Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui-Fui, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad dan Naib Presiden Kanan MDEC, Datuk Ts Fadzli Abdul Wahit.
Pada majlis itu, Gobind turut menyampaikan sistem Digital AgTech berasaskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) kepada lima penerima.
Program Jelajah Malaysia Digital adalah inisiatif Kementerian Digital dan agensinya dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital di seluruh negara dengan memastikan keterangkuman dan kelestarian untuk semua.
Program Digital Agtech atau program Teknologi Pertanian Digital oleh MDEC, bertujuan memacu penerimaan digital dalam sektor pertanian, selain mentransformasikan pertanian tradisional menjadi sektor berkemahiran tinggi.
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan produktiviti makanan, mendorong transformasi digital di seluruh sektor pertanian, menangani isu keselamatan makanan serta memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.
Turut diadakan, sesi bual bicara Digital Agtech bersama empat panel yang berkongsi pengalaman bagaimana pendigitalan memacu kejayaan dalam bidang pertanian masing-masing
Mereka adalah Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Rohafiza Abd Razak, Pengarah Perniagaan Animal Industry Data Malaysia (AIDM) Sdn Bhd, Harry Jung, Ketua Pegawai Eksekutif HSS Propick Technologies Sdn Bhd, Sreenath Gadicheria dan Pengarah SMR Biotech Park Sdn Bhd, Shazarina Samantha Nip.
Moderator sesi tersebut ialah Ketua Jabatan Ekosistem Teknologi Pertanian Digital MDEC, Navin Sinnathamby.
Sementara itu, Chan berkata petani sudah pasti berhadapan isu berkenaan IoT dan AI.
“Justeru, kita turun padang kepada warga peladang dan pertanian seperti majlis ini dan memberikan mereka maklumat penggunaan teknologi baharu seperti pemantauan melalui dron,” jelasnya.