Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 32 tahun didenda sejumlah RM3,000 kerana memiliki produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa label.
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman itu ke atas Sitti Safina Jolly yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya pada Khamis.
Bagi pertuduhan pertama, Safina didenda RM500 atau dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda kerana memiliki sembilan jenis produk tidak berdaftar pada jam 11 pagi, 16 Januari 2024, di Safina Kosmetik di KK Plaza, Jalan Lapan Belas, di sini.
Antara produk yang dirampas ialah Collagen Plus Whitening Beauty, Hydroquinone Tretinoin Brilliant Rejuv, Surut Ayu, Freshcare Sandalwood dan Minyak Linta.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dikenakan denda RM2,500 atau penjara sebulan kerana memiliki 44 jenis kosmetik tanpa label di tempat dan waktu yang sama.
Semasa rayuan, Safina yang tidak diwakili, merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia tidak akan mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana Safina melakukan kesalahan yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai memandangkan produk berkenaan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak mempunyai label.
Sementara itu, seorang wanita berusia 21 tahun yang menjual tiga jenis produk tidak berdaftar, didenda RM300 atau penjara 14 hari.
Julia Hana Masdullah mengaku bersalah menjual tiga produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan di lokasi dan waktu yang sama seperti Safina.
Pegawai Pendakwa Abu Suffian A. Rahman dari Jabatan Farmasi tampil untuk pendakwaan.