TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau melaksanakan 9,187 pemeriksaan dan melakukan 108 tangkapan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, sekali gus merekodkan jumlah tangkapan tertinggi di seluruh negara mengikut zon.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menjadi penyumbang kepada tangkapan Maritim Malaysia Negeri Sabah yang merangkul Anugerah Maritim Negeri Terbaik dan diberikan Piala Laksamana dalam acara di Pulau Pinang pada 15 Januari lalu.
“Tahun ini, kita tidak menunggu lama dan berjaya menghasilkan lapan tangkapan dalam 543 pemeriksaan yang dilaksanakan setakat ini,” katanya sempena Sambutan Hari Ulang Tahun dua dekad Maritim Malaysia di Eastern Plaza, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, kes penyeludupan barang kawalan dan pendatang asing tanpa izin (PTI) merupakan kesalahan utama di daerah ini dan pihaknya giat mendapatkan maklumat berkaitan penyeludupan rokok dan dadah.
Sementara itu, menjelang ketibaan Ramadan dan diikuti sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak, beliau menyatakan pihaknya akan menambah aset untuk beroperasi setiap hari serta dua bot siap-sedia (stanby) sekiranya ada keperluan mendesak.
Ketika ini, katanya, pihaknya melaksanakan operasi setiap masa dengan kapal beroperasi di perairan daerah ini, memandangkan jarak perairan Malaysia-Indonesia hanya dipisahkan tiga batu nautika.
Menyentuh program itu, Shahrizan berkata pihaknya melaksanakan pelbagai aktiviti bersama rakan strategik dalam karnival mini yang diadakan, antaranya pemeriksaan kesihatan dan taklimat kerjaya.
Manakala, pada 22 Februari ini (Sabtu), pihaknya akan mengadakan program naik bot di Jeti Maritim Malaysia Tawau bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.
Katanya, program terbuka kepada orang ramai itu akan memberi peluang kepada masyarakat setempat menaiki bot Maritim ke perairan Tawau serta melawat kapal Maritim yang bersauh.
“Ini antara kelainan yang kita laksanakan sempena Hari Ulang Tahun ke 20 Maritim Malaysia yang diwartakan pada 1 Julai 2004 dan mula beroperasi pada 15 Februari 2005,” katanya.