SANDAKAN: Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon muda pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.
“Kami akan menonjolkan pemimpin baharu dan muda. Kita bukan sahaja bersandar kepada keupayaan ahli politik veteran, tetapi juga akan memasukkan pemimpin muda supaya kita dapat memperjuangkan masa depan berdasarkan aspirasi yang mereka bawa.
“Tetapi apa yang penting adalah kerangka yang kita sediakan mestilah yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, semua etnik dan semua agama – bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara,” kata Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah, yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Malaysia berkata, pihaknya tidak akan mengumumkan jumlah kerusi yang mereka rancang untuk bertanding pada PRN17 ketika ini. Bagaimanapun, beliau yakin calon-calon yang bakal mereka letakkan mampu membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih baik.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Jelajah Sabah Zon 5 anjuran Perikatan Nasional (PN) di Dewan Sri Gum-Gum Batu 16 pada Jumaat malam.
Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Malaysia yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Pengerusi Pimpinan Negeri Bersatu Sabah merangkap Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; dan Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin.