Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata kerajaan negeri harus memastikan dana peruntukan dibelanjakan secara strategik.
“Ketika Belanjawan 2025 dibentangkan, Sabah menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah, sebanyak RM6.7 bilion, termasuk geran khas RM300 juta. Namun, persoalannya adalah keberkesanan peruntukan ini.
“Berapa banyak daripada RM6.7 bilion ini benar-benar akan dimanfaatkan untuk pembangunan yang diperlukan?
“Saya masih bimbang dengan kadar perbelanjaan yang rendah, di mana hanya separuh daripada bajet pembangunan Sabah digunakan, dan selebihnya dikembalikan ke Putrajaya,” katanya.
Vivian juga mempersoalkan mengenai ketelusan dan keutamaan projek-projek di negeri Sabah misalnya meningkatkan kemudahan hospital dan infrastruktur penting, bukannya untuk projek-projek yang tidak memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Contohnya, kita seharusnya membelanjakan peruntukan untuk peralatan perubatan hospital daripada memasang sistem ‘facial recognition’ di semua hospital di Sabah untuk kakitangan hospital mendaftar masuk dan daripada membelanjakan untuk menanam bunga di pembahagi jalan, dana seharusnya digunakan memastikan setiap lampu jalan yang tidak berfungsi,” katanya lagi.
Vivian berkata demikian ketika Perbahasan Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong 2025 ( Bahagian 1) pada Rabu.
Dalam pada itu, bagi mengatasi birokrasi yang menghalang pelaksanaan projek, Vivian menggesa kerajaan untuk memberikan lebih kuasa kepada Sabah dalam membuat keputusan perbelanjaan.
“Dengan lebih autonomi, kita dapat memastikan projek-projek kritikal disegerakan dan setiap ringgit yang diperuntukkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Saya juga mencadangkan supaya pasukan audit antara kementerian ditubuhkan bagi memastikan setiap perbelanjaan dipantau dengan ketat,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Vivian juga menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk menjalankan kajian impak bagi menilai sama ada peningkatan gaji menyebabkan pemberhentian pekerja, peningkatan kos sara hidup, atau penutupan perniagaan kecil.
“Pada 1 Februari 2025, gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 telah berkuat kuasa.
“Ia dijangka meningkatkan kuasa beli dan merangsang pasaran domestik.
“Namun, adakah peningkatan ini membawa kesan negatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME), terutamanya di luar bandar?,” soal Vivian lagi.