Kuala Lumpur: Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 94.4 peratus bagi tempoh setakat 31 Disember 2024.
Perkara itu dinyatakan oleh Kementerian Komunikasi dalam satu jawapan bertulis pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, menurut kenyataan media.
Menurut kementerian itu dalam kenyataan media, di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sebanyak 426 daripada 659 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi.
“Sebanyak 4,874 daripada 4,884 stesen pemancar telah dinaik taraf. Manakala 269,788 daripada 303,569 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 138 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit, Broadband Wireless Access (BWA).”
Kementerian tersebut menyatakan demikian terhadap soalan Lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Upko – Tuaran).