LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar pulang 149 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina pada Isnin melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.
Kumpulan ini, yang ditahan di Depoh Imigresen Sandakan, termasuk orang dewasa dan remaja berumur antara 16 hingga 65 tahun.
Pengarah Imigresen negeri Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, sehingga kini, seramai 1,008 PTI telah dihantar pulang ke negara asal.
Beliau berkata, 550 daripadanya berasal dari Filipina dan kesemua pendatang tanpa izin itu telah menjalani hukuman penjara, serta memiliki dokumen perjalanan yang dikeluarkan melalui program pengesahan Kedutaan Filipina yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Warga Filipina itu dihantar ke Jeti Bongao, Filipina, dengan feri MV Ming Hai Express dalam program pembiayaan sendiri.
Jabatan itu menasihatkan ahli keluarga atau saudara mara tahanan warga asing di depoh Imigresen Sabah yang layak, untuk menyertai program pembiayaan diri ini bagi mengelak tempoh tahanan yang lama.