SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mencadangkan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang agar meningkatkan nilai Geran Rukun Tetangga kepada RM10,000.
Jelasnya, nilai geran kini sebanyak RM6,000 yang diterima setiap tahun oleh setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tidak mencukupi bagi melaksanakan program-program rukun tetangga.
Suhaimi mengemukakan perkara itu di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Aaron ketika menjawab pertanyaan terbabit, mengakui jumlah peruntukan ini tidak mencukupi bagi memastikan KRT memainkan peranan dengan lebih baik.
“Sebanyak 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan seluruh negara dengan keanggotaan ahli jawatankuasa (AJK) seramai 2,210 orang,” katanya.
Aaron memberitahu dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, menyatakan bahawa Rukun Tetangga akan diperkasa sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program-program komuniti kesukarelawan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.
“Justeru bagi menterjemahkan inisiatif ini, kerangka memperkasakan rukun tetangga sebagai penggerak komuniti progresif telah dibangunkan dan disusun selaras dengan dasar keperluan negara dan lapan bidang tumpuan utama ditetapkan bagi mencapai matlamat komuniti progresif.
“Ini termasuk ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan dan kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alat sekitar, warisan dan budaya dan akhir sekali, daya cipta,” katanya.
Aaron berkata permohonan untuk meningkatkan jumlah geran itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta pada 2024 dan RM20 juta pada tahun ini diluluskan untuk inisiatif KRT Progresif.
Beliau berkata sebanyak 152 KRT Progresif telah diperkasakan sebagai KRT Progresif yang berupaya membangunan komuniti mampan dan progresif bagi 2024.
Pada tahun ini, Aaron berkata pihaknya berhasrat untuk memilih sekurang-kurangnya 300 KRT untuk diperkasa sebagai KRT Progresif dengan penilaian terperinci merangkumi penyediaan profil, pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat komuniti setempat.
“Dengan sokongan kewangan ini, KRT Progresif akan mendapat melaksanakan dengan lebih berkesan dalam menyediakan lebih banyak peluang untuk aktiviti kemasyarakatan dan memperkukuhkan lagi peranan rukun tetangga sebagai entiti penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Aaron berkata kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan agensi-agensi terlibat akan terus dipertingkatkan untuk memastikan kejayaan inisiatif ini selaras dengan misi kerajaan untuk membangunkan negara yang harmoni dan bersatu.
SUHAIMI (kiri) dan Aaron (kanan) semasa di Dewan Rakyat.