Wed, 10 Jun 2026
Headlines:
Stacy pentas konsert solo di Sabah Jun ini
Published on: Saturday, March 01, 2025
Published on: Sat, Mar 01, 2025
By: Kazalinah Kamaludin
Text Size:
Text:
Stacy pentas konsert solo di Sabah Jun ini
STACY, bakal menggegarkan Negeri di Bawah Bayu menerusi konsert solo mega pertamanya, Aku Stacy di SICC pada 21 Jun tahun ini.
BINTANG pop sensasi tanah air, Stacy, bakal menggegarkan Negeri di Bawah Bayu menerusi konsert solo mega pertamanya, Aku Stacy, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun tahun ini.

Penghibur hebat kelahiran Penampang ini menjanjikan konsert anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment itu bukan sekadar persembahan biasa. 

Advertisement
Menurutnya, Aku Stacy adalah sebuah penghormatan khas buat peminat yang setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi.

Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Menyatakan keterujaannya, Stacy atau nama lengkapnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, berkata Aku Stacy cukup istimewa berbanding konsert solonya sebelum ini.

“Dulu saya pernah membuat beberapa konsert solo anjuran pihak penganjur, termasuk konsert ‘DFP Presents Stacy’ dua tahun lalu serta ‘album tour’ di Sabah untuk album pertama saya, Aku Stacy.

Advertisement
“Namun, apa yang membezakan Aku Stacy pada tahun 2025 ini ialah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri.

“Saya memang merancang untuk mengadakan konsert ini di Sabah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong muzik saya sejak 2008,” kata pelantun lagu Menyala itu.

Advertisement
Stacy, yang mendapat jolokan ‘Ratu Tari Malaysia’, turut memberitahu bahawa konsert terbabit bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muziknya sejak awal karier.

“Konsert Aku Stacy menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemaskan dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll,” katanya.

“Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat.”

Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan buat para peminat.

“Konsert ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah.

“Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur. Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” tambah Stacy lagi.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Saya percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya.

“Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program The Hardest Singing Show melalui lagu Asmaradana.

“Ini adalah momen istimewa buat saya kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri,” katanya.

Menurut Stacy, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.

“Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert Aku Stacy.

“Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di tanah air sendiri, dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Ini juga peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi,” katanya, sambil berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert ini.

Stacy mula dikenali selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia musim ke-6 pada 2008. Dikenali sebagai ‘Ratu Tari Malaysia’, Stacy terkenal dengan lagu-lagu pop rancak serta persembahan bertenaga di atas pentas.

Sepanjang kerjayanya, Stacy telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam industri muzik tempatan. Antara pencapaiannya termasuk:  
  • Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) – Memenangi Artis Baharu Wanita Popular (2009), Artis Wanita Paling Popular Online (2012), Penyanyi Wanita Popular & Artis Duo/Berkumpulan Popular (2014).  
  • Shout! Awards – Memenangi Anugerah Popstar (2009) & Anugerah Video Muzik bersama KRU (2013).  
  • Anugerah Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) – Memenangi Kategori Persembahan Tertinggi (2012).  
  • Anugerah Industri Muzik (AIM) – Memenangi Kulit Album Terbaik untuk album #1 (2015) & Muzik Video Terbaik untuk lagu Not For Sale (2016).  
  • Anugerah Juara Lagu (AJL) – Memenangi Naib Juara untuk lagu Cinta sebagai komposer (2022) & tempat ketiga untuk lagu Saksama sebagai penulis lirik (2025).  
  • Pengiktirafan Negeri Sabah – Dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada 2024 sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam bidang seni.  
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here