Kuala Lumpur: Bandaraya Kota Kinabalu terus berjuang di saat-saat akhir untuk mendapatkan pengiktirafan Unesco sebagai kota sastera dunia, kata Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Faradillah Abdul Rani.
Katanya, hanya tinggal beberapa hari lagi berakhirnya tempoh pencalonan pengiktirafan berkenaan oleh Unesco, tetapi DBKK tetap terus berusaha hingga batas waktu terakhir.
“Ia nampak melelahkan, tetapi kami tidak berhenti berjuang sehingga beroleh kejayaan,” kata Faradillah selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Pengarah Jabatan Warisan Malaysia, Tuan Mohamad Muda Bahadin, di pejabat beliau di Bangunan Permodalan Nasional Bhd, di sini, pada pagi Jumaat.
Turut sama, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia merangkap Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat DBKK Dr Benedick Oliver Lidadun, pegawai kanan DBKK Wan Amira Mujiono, pegawai kanan Institut Kajian Pembangunan (IDS) Ahmad Fauzan Amrullah, dan Presiden Pertubuhan Penulis Johor (PPJ) Amiruddin Ali Hanapah.
Faradillah, yang mengetuai rombongan itu berkata, pihak bandaraya Kota Kinabalu turut berharap agar mendapat sokongan daripada pihak Jabatan Warisan Negara serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menghantar permohonan berkenaan ke pejabat Unesco di Paris sebelum Isnin (3 Mac).
“Kita bersyukur kerana mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Jabatan Warisan Negara yang bukan sahaja menyokong, tetapi turut memberi input mengenai hal berkaitan dasar kebudayaan kebangsaan yang perlu dimasukkan dalam kertas permohonan, seterusnya mengenai potensi dan pulangan dari segi ekonomi, bagi menguatkan lagi peluang kita untuk mendapat pengiktirafan.
“Begitu juga, terima kasih tak terhingga kepada Motac yang sangat membantu terutama dari segi memberikan khidmat nasihat serta mengajukan permohonan ini kepada pihak Unesco,” kata Faradillah.
Menurut Faradillah lagi, DBKK sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta Kerajaan Negeri Sabah kerana menyokong cadangan DBKK menjadi kota sastera diiktiraf oleh Unesco.
“Begitu juga terima kasih kepada Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Mayor DBKK Dato’ Seri Dr Sabin Samitah dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.
“Ketua Eksekutif IDS Datuk Dr Ramzah Dambul, Penasihat Bahasa Datuk Indra Haji Ayub, Jabatan Pendidikan Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Gapena, Perpustakaan Negeri Sabah, KDCA, Bahasa dan beberapa persatuan penulis lain yang turut menyokong usaha DBKK ini.
“Semoga kita berjaya,” katanya.