TAWAU: Dua cubaan menyeludup lebih tujuh tan barangan kawalan menggunakan bot kargo tempatan dari daerah ini, digagalkan dalam dua operasi berasingan di sini, Selasa.
Operasi terbabit dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM126,000.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman dalam kenyataan pada Khamis, berkata dua juragan lelaki tempatan berumur 32 dan 35 tahun turut ditahan selepas gagal menunjukkan permit.
“Bot kargo tempatan dalam kes pertama ditahan pada kedudukan 1.7 batu nautika dari selatan Batu 3 Jalan Apas, dan bot kedua di 1.6 batu nautika dari selatan Kuala Sungai Tawau.
“Rampasan pertama melibatkan 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum dan tujuh kotak minyak masak, manakala kes kedua pula melibatkan 50 tong gas LPG dan 65 pek beras,” katanya.
Berikutan penahanan terbabit, Shahrizan berkata siasatan terhadap kedua-dua kes itu dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
Menurutnya, juragan dalam kes kedua yang namanya dikesan tidak tersenarai dalam lesen pengoperasian bot terlibat, turut disiasat menerusi Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Kesemua barang rampasan termasuk bot dan enjin dalam kedua-dua kes ini sudah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan kejayaan dalam kedua-dua kes itu dicapai hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang diperketatkan, terutama pada musim perayaan.
Shahrizan berkata kawalan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan demi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan maklumat jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau pada talian 089-752116 atau nombor kecemasan 999 untuk tindakan segera.