SANDAKAN: Loji Rawatan Air (LRA) Hilltop dekat bandar di sini beroperasi semula, kembali membekalkan air kepada pengguna di daerah ini selepas enam bulan terhenti akibat kekurangan sumber air.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Shahelmey Yahya, berkata pengguna yang sebelum ini terjejas, termasuk di Bandar Leila, Bandar Nam Tung, dan Bandar Ramai-Ramai, kini menerima bekalan air mereka tanpa gangguan seperti sebelum ini.
Beliau berkata, LRA itu mula beroperasi semula setelah dua daripada 10 telaga tiub atau air bawah tanah (telaga bor) di daerah ini kini mampu membekalkan antara tiga hingga 3.5 juta liter air sehari.
Selain itu, katanya, jika telaga ketujuh dan ke-10 diselenggara, sebanyak empat juta liter air sehari dapat dibekalkan kepada pengguna yang menerima air dari LRA Hilltop.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat tapak pembinaan tangki simpanan air Sandakan berhampiran Taman Tshun Ngen pada Rabu.
Dalam lawatan kerja sehari ke Sandakan pada hari sama, Shahelmey turut meninjau pembinaan pembetung di Jalan Utara, yang dijangka dapat menyelesaikan masalah takungan air dan banjir di jalan tersebut menjelang Mei.
Beliau juga melawat LRA Hilltop dan dua telaga bor di Sandakan yang mampu membekalkan air terawat kepada pengguna di kawasan terbabit.
Projek tangki simpanan air Sandakan sepanjang 40km, membabitkan lima tangki, dijangka siap pada Julai tahun depan.
Lima tangki simpanan ini akan berfungsi untuk membekalkan air ke hab pendidikan Batu 10, Batu 12, Batu 16 Gum-Gum, Jalan Airport, dan kawasan Tshun Ngen di Sandakan.
Untuk jangka panjang, Shahelmey berkata bagi memastikan bekalan air berterusan di Sandakan, pihak kementeriannya dan syarikat konsesi akan berbincang mengenai pengambilan sumber air dari empangan Segaliud serta cadangan menyalurkan air dari Kinabatangan ke Sandakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mengenai isu bekalan air negeri, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.
Pada April tahun ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, dijangka melancarkan Skim Bekalan Air Ulu Padas bagi membekalkan air terawat kepada pengguna di kawasan sekitar, selain usaha memperbaiki bekalan air di Putatan, Papar, Kota Kinabalu, dan kawasan lain.
Mengulas isu tular berkaitan penggunaan pam air, Shahelmey menjelaskan bahawa ia bukan tindakan segera, tetapi lebih kepada kempen kesedaran bagi pengguna domestik dan komersial supaya mengelakkan amalan tidak bertanggungjawab.
“Selain itu, pengguna harus beretika dan menggunakan pam yang mematuhi peraturan supaya orang lain juga dapat menikmati bekalan air secara adil, kerana terdapat aduan mengenai pengurangan bekalan akibat penggunaan pam air yang berlebihan,” katanya.