JABATAN Kesihatan berharap dapat melakukan penambahbaikan terhadap tempat letak kereta terbuka di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan.
Ini susulan maklum balas berasingan daripada dua pesakit mengenai keadaan tempat letak kereta ini yang didakwa kurang memuaskan. Mereka mengeluh tentang kesukaran yang dihadapi oleh pemandu akibat lekukan yang terbentuk di permukaan kawasan parkir tidak berturap, serta air bertakung di kawasan itu ketika hujan lebat.
Seorang pemandu yang mendapatkan rawatan di HQE II meluahkan rasa tidak puas hati berhubung ketiadaan longkang di sekeliling kawasan parkir, dengan mendakwa bahawa sebahagian tempat letak kereta terbabit ditenggelami air setinggi betis apabila hujan lebat berlaku.
BANYAK lekukan di sekitar tempat letak kereta HQE II menjadi punca kekecewaan kepada pemandu.
Seorang lagi, yang kerap ke Klinik Kesihatan berkenaan, berkata masalah air bertakung turut berlaku di tempat letak kereta terbuka, dekat Jalan Pusat Perancang Keluarga. Pada satu ketika, dia menyaksikan seorang pesakit yang berkerusi roda terpaksa ditolak melalui lumpur dan air hujan di tempat letak kereta itu untuk ke klinik.
Mereka menghubungi Hotline dan memberikan maklumat berkaitan. Ini kemudiannya dikemukakan kepada agensi terbabit.
Jjurucakap Jabatan itu berkata pihaknya tidak mempunyai banyak kuasa terhadap apa yang berlaku di kedua-dua tempat letak kereta itu kerana tanah yang menempatkan kawasan terbabit adalah milik persendirian.
“Hartanah kosong berhampiran HQE II itu dipinjamkan kepada kami atas dasar ihsan oleh Qhazanah Sabah Bhd untuk kegunaan orang ramai,” katanya.
Memandangkan bilangan tempat letak kereta dalam bangunan Hospital adalah terhad, jelasnya, tanah itu digunakan sebagai kawasan parkir “alternatif” bagi kakitangan, pelawat dan pesakit yang memandu ke hospital.
Dia berkata tempat letak kereta ini boleh menampung kira-kira 300 kenderaan.
Pesakit berkerusi roda terpaksa ditolak melalui lumpur dan air hujan di tempat letak kereta terbuka dekat Klinik Kesihatan Jalan Kebajikan.
“Kami telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin tempatan dan pihak berkepentingan berkaitan bagi merancang strategi mengenai apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan, termasuk potensi untuk memperluaskan tempat letak kereta serta pembaikan yang perlu dilaksanakan di kawasan itu.”
Menurutnya, Jabatan itu berharap penambahbaikan ini akan menjadikan kemudahan terbabit lebih mudah diakses oleh orang ramai dan kakitangan Hospital.
Bagi tempat letak kereta di Klinik Kesihatan, jurucakap itu berkata agensi sedang meneliti cara terbaik untuk menangani kebimbangan yang disuarakan oleh pengadu.
“Buat masa ini, mereka yang mendapatkan rawatan atau datang untuk temu janji mungkin perlu mempertimbangkan semula keputusan memandu ke Klinik.
“Mungkin lebih baik jika mereka dihantar dan dijemput selepas itu.”
SEBAHAGIAN pemandu terpaksa meletakkan kenderaan secara haram di sepanjang jalan masuk ke Klinik semata-mata untuk mengelakkan pergi ke tempat letak kereta.
Katanya, kakitangan Klinik telah menasihatkan pesakit agar menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan e-hailing untuk ke premis terbabit.
Jabatan itu, sebelum ini, mengakui bahawa mereka sedang mempertimbangkan idea untuk menukar Klinik berkenaan kepada sebuah bangunan bertingkat, dengan beberapa aras dikhaskan untuk pesakit meletakkan kenderaan mereka.
Pada ketika itu, seorang lagi jurucakap berkata pihak pentadbiran menyedari bahawa tempat letak kereta awam hampir tidak wujud dan kemudahan yang disediakan untuk kakitangannya, termasuk doktor, adalah amat tidak mencukupi.
Selain beberapa ruang yang diperuntukkan untuk kakitangan, katanya, hanya terdapat dua petak khas untuk orang kurang upaya berhampiran bangunan itu.
Katanya, esakit biasanya meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan di kedua-dua sisi Jalan Family Planning Center, dekat Klinik.
“Pengarah (ketika itu) mengambil maklum tentang kekurangan ini semasa lawatannya ke sini,” katanya.
“Menurutnya, kekangan tanah – yang dihadapi oleh lot tanah tempat Klinik ini terletak – menjadikan peluasan secara menegak lebih berdaya maju berbanding peluasan secara mendatar untuk menangani masalah tempat letak kereta terhad di sini.
“Beliau menyatakan hasrat untuk menaik taraf bangunan ini tetapi mengakui bahawa bajet yang diperlukan untuk merealisasikan perkara ini menjadikannya sebagai matlamat jangka panjang.”
Apabila ditanya berapa lama orang ramai perlu menunggu sebelum bangunan ini dirobohkan dan dibina semula, jurucakap itu berkata ia berkemungkinan mengambil masa “lebih 10 tahun” sebelum dapat direalisasikan.