SANDAKAN: Seorang tahanan wanita warga asing berusia 60 tahun, yang ditangkap kerana memasuki perairan negara secara haram, diberi peluang melawat jenazah suaminya buat kali terakhir pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah berkata, wanita tersebut ditangkap pada jam 10.20 malam Ahad.
“Wanita tersebut ditangkap semasa cuba memasuki perairan negara secara haram melalui Pulau Taganak.
“Siasatan dijalankan sebagaimana prosedur, dan pada masa yang sama, Rukun Negara keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang dan hak asasi sentiasa dipatuhi oleh Polis Diraja Malaysia selaku agensi penguatkuasan yang profesional.
“Oleh yang demikian, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan telah membawa wanita tersebut melawat jenazah suaminya yang merupakan warga tempatan di Kampung Sundang buat kali terakhir,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Ahsmon berkata, wanita tersebut disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.