TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang kontraktor yang dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan kos baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai kira-kira RM60,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah Cawangan Tawau kira-kira jam 10 pagi Selasa.
“Siasatan awal mendedahkan suspek mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu, membabitkan kerja baik pulih empat rumah PPRT, di salah sebuah daerah di negeri ini dengan anggaran kos RM15,000 setiap rumah,” menurutnya.
Difahamkan, tuntutan palsu yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan berkenaan dipercayai dikemukakan oleh suspek kepada sebuah agensi kerajaan negeri pada 2021.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek yang juga seorang pemilik syarikat pembinaan oleh pasukannya.
“Siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu,” katanya.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda dari nilai butiran palsu atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Karunanithy turut mengesahkan suspek dilepaskan selepas keterangannya diambil dengan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.