TAWAU: Tertuduh kedua (OKT2) dalam kes bunuh pelajar Bioteknologi Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, mengaku di Mahkamah Tinggi Tawau pada Rabu bahawa dia memukul mangsa, termasuk menampar dan menendangnya.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak pernah ada sebarang niat untuk membunuh, malah tidak pernah ada niat dan merancang memukul mangsa pada malam itu bersama mereka yang lain di Bilik 7 Belian, 7 Resak dan 5 Belian.
Sebaliknya, katanya, tindakannya (memukul) tersebut adalah kerana berasa marah apabila Ijat (nama panggilan mangsa) tidak mengaku mencuri.
OKT 2, 20, yang merupakan saksi ke tujuh menyatakan perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif pada hari ketiga perbicaraan peringkat bela diri kes bunuh tersebut yang didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Pada pemeriksaan balasnya, Nur Nisla mengambil masa lebih dua jam untuk menghabiskan soalan pertanyaannya kepada OKT 2.
TPR: Setuju atau tidak, pada masa itu kamu juga hendak memukul Ijat kerana OKT 1 sudah beritahu kamu tentang punca mereka semua memukul Ijat tetapi dia tidak mahu mengaku kepada kamu?
OKT 2: Ketika itu, belum ada niat untuk memukul.
TPR: Tadi kamu pun sudah berkata kamu sudah mula marah apabila dia tidak mengaku kepada kamu sedangkan kamu sudah diberitahu bahawa dia sudah mengaku mencuri.
OKT 2: Setuju
Kepada soalan sama ada OKT2 bersetuju jika dia juga ada memijak bahagian badan dan kepala mangsa, dia menjawab pinggang tapi kepala tidak.
Bagaimanapun, dia menjawab tidak setuju kepada soalan bahawa ada saksi yang melihatnya memukul serta membanting Ijat sehingga terhempas ke lokar.
OKT 2 juga menjawab setuju ketika ditanya TPR setuju atau tidak tiada paksaan oleh mana-mana guru untuk menulis kronologi susunan kejadian dan penglibatannya dalam kertas A4 yang diberi oleh Cikgu Firdaus.
Dia turut mengatakan tiada kepada soalan setuju atau tidak semasa siasatan polis dia tidak ada didenda selagi tidak mengaku, namun, menjawab ‘gertak’ kepada soalan sama ada pihak polis menjaga mereka dengan baik semasa proses siasatan.
TPR: Setuju atau tidak, polis menjaga kamu dan tidak ada memberi hukuman apa-apa kerana kamu semua pesalah bawah umur dan pesalah muda?
OKT2: Setuju
Bagaimanapun, dia menjawab (untuk) dirinya sendiri ketika ditanya peguamnya pada sesi pemeriksaan semula, sama ada jawapan setuju tersebut adalah untuk dirinya atau semua yang ditahan polis pada waktu itu.
Peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin turut bertanya kenapa OKT2 mengambil tindakan sendiri dengan memukul mangsa pada malam itu sedangkan dia sepatutnya melaporkan sebarang kejadian kecurian kepada sekolah.
Dia memberitahu pada awalnya dia ingin menyiasat tentang kejadian mencuri tetapi ketika mangsa memberikan jawapan tidak mengaku, dia terbawa emosi dan marah.
Terdahulu, OKT 1, 17, yang merupakan saksi keenam memberitahu mereka dihukum polis semasa siasatan berlangsung dengan diarah melakukan kira-kira 50 kali tekan tubi, dipukul menggunakan hos getah dan ditendang di paha serta duduk separuh.
Menurutnya, kejadian berlaku di lokap tahanan apabila pegawai penyiasat yang mengambil keterangan memaksa mereka mengaku membunuh Ijat.
“Selagi kami tidak mengaku, mereka (polis) paksa terus seolah-olah mereka macam mahu pukul kami lagi kalau tidak mengaku,” katanya semasa pemeriksaan utama peguam Kamarudin Mohmad Chinki.
Katanya, mereka dihukum sepanjang kenyataan diambil, namun, tidak ingat berapa hari berlangsung.
Kamarudin: Maksud kamu berhari-hari?
OKT 1: Sewaktu ambil kenyataan itu dilakukan, macam saya bilang, saya tidak pukul, mereka paksa saya (mengaku pukul).
Kamarudin: Adakah kamu seorang saja dihukum)
OKT 1: Waktu dipunish (dihukum) kami dikasi (diminta) berbaris ramai-ramai.
Kamarudin: Adakah kamu nampak rakan kamu dipukul semasa di balai dalam siasatan?
OKT 1: Kalau dipukul tiada, kalau di’punish’, ada.
Kamarudin: Apa maksud kamu ‘punish’?
OKT 1: Mereka suruh ‘pumping’ (tekan tubi), ‘squatting’ duduk separuh, lompat bintang. Itu saja.
Ketika ditanya apa perasaannya semasa disiasat, OKT 1 itu menyatakan mereka dipaksa mengaku pukul mangsa sampai mereka rasa takut.
Dia juga mengaku menangis ketika di dalam lokap ketika ditanya adakah dia menangis pada waktu itu.
Kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dengan dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye iaitu tertuduh (OKT) pertama, ketiga, keempat, kelapan, 10, 11, 12 dan 13.
Lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika (OKT 5), Vivian Thien (OKT 6), Jhesseny P. Kang (OKT 7), Kusni Ambotuwo (OKT 9) dan Mohamed Zairi Zainal Abidin (OKT 2).