Tuaran: Seorang ibu buntu memikirkan nasib dan keselamatan anak lelakinya, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang di luar negara sejak awal Januari lalu.
Ibu mangsa mahu dikenali Nur, 51, berkata mereka sekeluarga kini memohon bantuan pelbagai pihak untuk menyelamatkan anaknya yang mesra dipanggil Lieyco, 30, yang dipercayai berada di Myanmar.
Bercerita lanjut, Nur yang ditemui di Kampung Bukit Giling, Tamparuli berkata, anaknya itu pada awalnya memaklumkan mereka sekeluarga bahawa dia ingin berjalan-jalan (melancong) di Bangkok, Thailand pada pertengahan Jun 2024.
“Ketika dia memaklumkan perkara itu, dia masih berada di sini (Sabah) dan kami memberi izin memandangkan tujuannya hanya ingin melancong sahaja.
“Pada masa sama, kami juga tidak pasti apa alasan sebenarnya kerana dia pernah berasa hampa akibat gagal mendapatkan kerja di Korea sehingga terpaksa berpatah balik ke Sabah.
“Jika dia berterus-terang mengatakan mahu bekerja di sana (Thailand), sudah pasti kami tidak membenarkannya dan kemungkinan dia merahsiakan tujuan sebenarnya kerana bimbang tidak diizinkan pergi,” ujarnya.
Menurut Nur, pada Disember 2024, dia memujuk anaknya menceritakan perkara sebenar dan anaknya mengaku dia bekerja, namun tidak menceritakan lanjut jenis pekerjaan.
Mereka sekeluarga mula berasa bimbang dan memintanya memuat turun serta mendaftar akaun aplikasi Life360 yang membolehkan sekeluarga mengetahui lokasi keberadaan masing-masing.
Mereka mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila anaknya yang kerap berhubung, tiba-tiba gagal dihubungi.
“Kali terakhir saya berhubung anak saya adalah pada awal Januari, yang mana dia mengatakan jika dia tidak dapat pulang ke Sabah, dia meminta kami sekeluarga mengambilnya di Tachileik, Myanmar.
“Malahan, persekitaran sekeliling tempat tinggal anak saya yang dipenuhi bangunan sudah berpindah ke kawasan hutan walaupun masih berada di kawasan Tachileik.
“Pada 26 Januari, saya menghubungi anak saya namun gagal sehingga laporan polis dibuat di Balai Polis Tanjung Aru pada 4 Mac lalu,” katanya.
Nur menambah, belum ada sebarang khabar berita yang diterima daripada anaknya sehingga kini.
“Kami tetap berusaha menghubunginya selain bertanya kepada rakan dan saudara mara, tetapi sehingga kini kami sekeluarga masih gagal menghubunginya.
“Kami sekeluarga sudah tidak tentu arah selepas mengesyaki perkara ini (dakwaan anak menjadi mangsa sindiket),” ujarnya, menambah satu lagi laporan polis akan dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan dan membantu pencariannya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam kenyataan Facebook miliknya berkata, beliau mengetahui perkara terbabit selepas dihubungi oleh ibu mangsa.
Beliau berkata, pemakluman itu dibuat selepas ibu mangsa membuat laporan kehilangan anak lelakinya di Balai Polis Tanjung Aru, lalu menghubunginya untuk mendapatkan bantuan membawa pulang ke Sabah.
“Saya seterusnya pergi ke rumah ibu mangsa untuk bertemu bagi mendengar maklumat lanjut dan mengetahui anaknya gagal dihubungi selepas tiba di Myanmar.
“Ibu mangsa mendakwa anaknya disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan,” katanya.
Menurut Madius, beliau turut menyarankan keluarga mangsa membuat satu lagi laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membolehkan misi menyelamat dijalankan menerusi kerjasama pihak berkaitan.
“Sama-sama kita doakan agar pemuda ini akan ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran atau pelawaan untuk melancong di luar negara tanpa alasan munasabah kerana sindiket pemerdagangan manusia sudah banyak melakukan perkara serupa.