Thu, 11 Jun 2026
Headlines:
Pelan Tindakan 10 tahun Beruang Matahari Borneo
Published on: Friday, March 14, 2025
Published on: Fri, Mar 14, 2025
By: Sherell Jeffrey
Text Size:
Text:
Pelan Tindakan 10 tahun Beruang Matahari Borneo
DARI kiri: Benoit, Mohd Soffian, Sarah dan Wong menunjukkan Pelan Tindakan Beruang Matahari Borneo.
Kota Kinabalu: Sabah melancarkan Pelan Tindakan Beruang Matahari Borneo 2025-2034 pada Rabu bagi melindungi spesies terancam ini melalui usaha pemuliharaan tersasar.

Dilancarkan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC) dengan bantuan Danau Girang Field Centre (DGFC), pelan ini menangani ancaman seperti kehilangan habitat dan pemburuan haram.  

Advertisement
“Dengan adanya Pelan Tindakan ini, ia memenuhi keperluan antarabangsa. Sama seperti hutan simpan dan kawasan perlindungan yang memerlukan pelan pengurusan, perkara sama turut terpakai kepada spesies terancam,” kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar.  

“Dengan beruang matahari dipilih sebagai maskot Tahun Melawat Malaysia 2026, pelan tindakan ini sangat tepat pada masanya.  

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Melindungi beruang matahari bermakna memelihara hutan hujan Borneo yang berusia 130 juta tahun, antara yang tertua di dunia, serta semua hidupan di dalamnya,” katanya pada sidang media.  

Kehilangan dan pemecahan habitat merupakan penyebab utama penurunan populasi beruang matahari di Sabah, selain pemburuan untuk perubatan tradisional Cina (terutama hempedu beruang), perdagangan haiwan peliharaan, jerat haram, serta projek pembinaan jalan yang meningkatkan risiko beruang dilanggar kenderaan.  

Advertisement
Sebanyak RM4.7 juta diperlukan untuk melaksanakan Pelan Tindakan 2025-2034 yang bertujuan melindungi spesies ikonik Borneo ini sambil menyokong matlamat pemuliharaan lebih luas di negeri ini.  

Dana ini, yang masih perlu diperoleh melalui pelbagai usaha pengumpulan dana dan bukan daripada peruntukan langsung kerajaan, akan menyokong pendekatan kolaboratif antara agensi kerajaan, pakar pemuliharaan dan komuniti tempatan akan digunakan bagi melindungi beruang matahari di seluruh Sabah.  

Advertisement
Mereka yang berminat untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan ini boleh menghubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk maklumat lanjut.  

Mohd Soffian turut menekankan bahawa industri pelancongan memberi manfaat lebih luas daripada sekadar kutipan yuran masuk ke pusat pemuliharaan.  

“Penduduk tempatan mendapat peluang pekerjaan seperti menghasilkan cenderamata dan produk khas yang hanya boleh didapati di sini,” katanya.  

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Dr Wong Siew Te berkata pelan tindakan ini turut diselaraskan dengan inisiatif pemuliharaan lain kerana ia merangkumi perlindungan hutan, penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan awam.  

“Sebagai spesies payung dalam ekosistem Borneo, melindungi beruang matahari turut membantu melindungi hidupan liar lain dan habitat mereka.  

“Dengan perubahan iklim, kita semakin kesuntukan masa. Pertambahan populasi manusia memerlukan lebih banyak makanan dan tanah, sekali gus mengurangkan ruang untuk hidupan liar,” katanya.  

Pelan Tindakan ini menghubungkan pemuliharaan dengan manfaat ekonomi, terutama melalui pelancongan berasaskan alam semula jadi, yang memberi faedah kepada hidupan liar dan komuniti tempatan.  

“Selepas pembalakan dan kelapa sawit, pelancongan kini menjadi sumber pendapatan utama di Sabah,” kata Wong.  

“Apabila pelancong datang, mereka membawa wang yang membantu ekonomi tempatan serta mencipta peluang pekerjaan di pelbagai peringkat, malah menjana pendapatan untuk kerajaan,” tambahnya.

Selain itu, pengetahuan tempatan dan penglibatan komuniti adalah elemen utama dalam pendekatan pelan ini.  

“Jika kita cuba memulihara beruang matahari tanpa melibatkan penduduk tempatan yang tinggal berhampiran hutan simpan, usaha ini tidak akan berjaya,” kata Wong.  

“Hanya apabila penduduk tempatan hidup dalam keadaan baik, hidupan liar dapat berkembang. Jika mereka bergelut untuk memenuhi keperluan asas, perlindungan hidupan liar menjadi mustahil,” tambahnya.  

Salah satu cabaran utama adalah ketiadaan data tepat mengenai jumlah populasi beruang matahari di Sabah. Oleh itu, keutamaan utama dalam pelan ini adalah menjalankan kajian populasi secara terperinci.  

“Kami masih belum mengetahui jumlah sebenar beruang matahari di Sabah. Diharapkan, dalam tempoh lima tahun, kita akan memperoleh maklumat ini, dan bukan mengambil masa penuh 10 tahun seperti yang dirancang,” kata Wong.  

Wong, bagaimanapun berkata, beruang matahari boleh ditemui di seluruh hutan Sabah, kerana ia merupakan haiwan yang mudah menyesuaikan diri dan mampu bertahan dalam pelbagai persekitaran, termasuk kawasan mencabar seperti Hutan Paya Nipah di muara Sungai Kinabatangan, di mana ia memakan biji kelapa sawit dan haiwan bercangkerang.  

Wong turut berkongsi pengalaman melepaskan seekor beruang matahari yang telah dipulihkan, bernama Itam, kembali ke habitat semula jadi.  

“Saya berharap ia tidak akan melihat manusia lagi. Kehadiran manusia adalah faktor utama yang menentukan sama ada hidupan liar akan terus hidup atau lenyap selamanya,” katanya. 

Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens, berkata mereka mengumpulkan input daripada komuniti tempatan, agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan pelan ini.  

“Ia benar-benar satu usaha kerjasama,” katanya.  

Walaupun isu pembiayaan kekal sebagai cabaran, Benoit optimis kerana beberapa inisiatif sudah mula dilaksanakan.  

“Kami tidak menunggu semua dana diperoleh sebelum melaksanakan pelan ini. “Kami telah menjalankan beberapa projek penyelidikan, termasuk seorang pelajar PhD yang menggunakan sampel rambut dan analisis genetic untuk menganggarkan kepadatan populasi beruang matahari di hutan perlindungan.  

“Sabah mempunyai banyak organisasi pemuliharaan yang aktif dan bekerjasama rapat dengan kerajaan,” katanya, sambil menambah usaha pemuliharaan tidak pernah mudah, tetapi keazaman mereka mula membuahkan hasil.  

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian, Sarah Audrey Alexius.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here