TAWAU: Tertuduh kelapan dalam kes bunuh pelajar Bioteknologi Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, atau Ijat memberitahu Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat bahawa mereka tiada melakukan keganasan atau membelasah mangsa.
Menurutnya, mereka juga tiada menggunakan cara sendiri atau keganasan dan mereka tidak membelasah sesiapa yang mencuri dalam asrama.
Saksi pembelaan kesepuluh itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya, Kamarudin Mohmad Chinki pada pendengaran hari kelima di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Saksi itu juga berkata dia tiada melihat sesiapa yang ‘mengeroyok’ atau membelasah mangsa dan dia sendiri tidak melakukannya, ketika ditanya jika dia tahu siapa yang ‘mengeroyok’ atau membelasah Ijat.
Katanya, dia tiada peranan sama sekali dalam kejadian (pukul) tersebut dan tidak melihat orang lain yang berperanan banyak serta serius dalam hal itu.
Kamarudin yang merujuk kepada nota prosiding turut menyoal OKT8 sekiranya dia setuju seseorang akan mati sekiranya dia dipukul, ditumbuk, ditendang dan dikeroyok banyak kali oleh ramai orang dan dalam jangka masa yang panjang dan berjam-jam dan dia tidak bersetuju.
Kamarudin juga bertanya kepadanya sama ada dia bersetuju dengan kenyataan ‘saya katakan Ijat meninggal dunia disebabkan kamu dan 12 rakan kamu iaitu kesemua tertuduh di mahkamah hari ini bersama-sama mengeroyok dan membelasah Ijat’ dan saksi itu tidak bersetuju.
Kamarudin: Adakah kamu tahu siapa di antara 12 rakan-rakan kamu bersama-sama mengeroyok dan membelasah Ijat?
OKT8: Saya tidak tahu siapa dan kami tiada mengeroyok atau membelasah Ijat.
Sementara itu, saksi ke- 11 yang merupakan OKT4 dalam kes itu, memberitahu mahkamah bahawa dia melibas Ijat dengan kabel pengecas telefon kerana marah Ijat mencuri duitnya.
Dia ditanya pada pemeriksaan balas oleh peguam Abdul Gani Zelika berhubung tindakan OKT1 menolak Ijat dan dia (OKT4) melibas kabel pengecas tersebut.
Abd Gani: Kamu marah atas dasar apa?
OKT4: Ijat mencuri duit saya
Abd Gani: Selepas sedikit pertengkaran berlaku, apa yang Ijat katakan kepada kamu?
OKT4: Dia diam saja
Dalam pemeriksaan balas peguam Vivian Thien pula, OKT 4 setuju dan menjawab ya ketika ditanya dia ada kehilangan duit pada 21 Mac 2024 dan ada melihat mangsa mengaku ambil duit seperti dalam kenyataan saksinya.
Vivian: Setuju atau tidak mangsa ambil duit kamu?
OKT4: Ya
Vivian: Setuju atau tidak mangsa ada pulangkan duit kepada kamu?
OKT4: Setuju
Vivian: Setuju atau tidak, mangsa ada pulangkan duit kepada OKT3?
OKT4: Setuju
Dia turut bersetuju dengan soalan Vivian yang dia tidak pernah ‘meeting’ dengan tertuduh-tertuduh lain untuk berbincang atau merancang membunuh mangsa selepas mengetahui mangsa mengambil duitnya.
Sementara itu, OKT4 menjawab betul ketika ditanya TPR Nur Nisla dalam pemeriksaan semula berhubung pindaan dalam kenyataan saksinya yang menyebut OKT5 bertanya mangsa dan mangsa mengaku mencuri duit OKT4 sebanyak RM27 dan duit OKT3 sebanyak RM50.
TPR Nur Nisla: Berapa sebenarnya jumlah duit kamu yang hilang?
OKT4: RM35
TPR Nur Nisla: Setuju atau tidak jika wang kamu hilang sebanyak RM35, maka jika benar Ijat mengaku mengambil wang kamu, dia tidak akan mengaku ambil wang RM27 tetapi akan kata dia ambil RM35.
OKT 4: Tidak setuju.
TPR Nur Nisla: Kamu pagi tadi membuat pindaan pada muka surat 4 perenggan 12 pada ayat ‘OKT5 tanya mangsa dan mangsa mengaku mencuri duit OKT4 sebanyak RM27 dan duit OKT3 sebanyak RM50?
OKT4: Setuju
Pada prosiding itu, Nur Nisla menyoal lebih 300 soalan pemeriksaan balas kepada OKT4 sebelum pemeriksaan semula oleh peguam Kamarudin.
Pada pemeriksaan semula itu, OKT4 menyatakan wang RM27 itu bukan nilai yang sama dengan yang dia hilang.
Kemudian ketika diminta memberi penjelasan, OKT 4 menjawab jumlah duit yang arwah Ijat bagi tidak sama dengan duit yang dia hilang.
Sementara itu, Duncan menetapkan tarikh 14 - 17 April depan untuk perbicaraan disambung. Dijangka enam lagi saksi pembelaan akan memberi keterangan termasuk empat OKT, seorang guru dan seorang pegawai polis.
Kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dengan dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye iaitu tertuduh (OKT) pertama, ketiga, keempat, kelapan, 10, 11, 12 dan 13.
Lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika (OKT 5), Vivian Thien (OKT 6), Jhesseny P. Kang (OKT 7), Kusni Ambotuwo (OKT 9) dan Mohamed Zairi Zainal Abidin (OKT 2).