LAHAD DATU: Dua penunggang motosikal terbunuh selepas jentera mereka bertembung di Jalan Felda Sahabat 40, Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt Jimmy Panyau berkata, dua mangsa itu masing-masing dikenal pasti sebagai seorang warga Indonesia berumur 43 tahun dan seorang warga Filipina berusia 17 tahun.
Katanya, hasil siasatan di lokasi mendedahkan kemalangan itu berlaku apabila motosikal Suzuki yang ditunggang warga Filipina itu hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.
Motosikal Suzuki itu kemudian bertembung dengan motosikal dinaiki warga Indonesia itu, yang sedang menuju ke Kembara Sakti dari Felda Sahabat 30.
Impak kemalangan menyebabkan kedua-dua mangsa maut akibat cedera parah kepala. Mayat mereka dihantar ke hospital dengan kenderaan polis.
Jimmy berkata, sampel darah kedua-dua mangsa diambil untuk ujian kandungan alkohol dan dadah.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi kejadian untuk menghubungi Insp. Humaidi Harun pada 089-881255 atau tampil ke balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
Jimmy juga mengingatkan semua pengguna jalan supaya berhati-hati semasa di jalan raya untuk mengelak membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan lain.