KENINGAU: Bekalan air bersih di sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini pulih 80 peratus setakat petang Sabtu.
Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil berkata, kelima-lima Loji Rawatan Air (LRA) di daerah ini iaitu LRA Agudon, LRA Keningau, LRA Apin-Apin, LRA Bunsit dan Bingkor sudah beroperasi sejak tiga hari tiga hari yang lalu.
Bagamanapun, keluaran LRA Bunsit serta LRA Bingkor yang berkongsi Sungai Bayayo dan merupakan loji utama, masih keruh.
Peter berkata, bekalan air bersih ini masih lagi keruh dan belum sesuai untuk diminum atau untuk dimasak, kecuali mereka menggunakan penapis air di rumah.
“Namun ia boleh digunakan untuk mandi dan mencuci kain,” katanya mengulas perkembangan bekalan air di daerah ini.
Pada masa sama, Peter yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), menasihatkan pengguna berjimat menggunakan air selain menyimpan stok air dalam tangki.
“Ini bagi persiapan sekiranya hujan lebat berlaku dan menyebabkan kekeruhan air yang tinggi,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah meluluskan peruntukan untuk membina jambatan bailey sebagai laluan sementara di Tuarid Taud dan Senagang Lama.
Jambatan Tuarid Taud dan jambatan Senagang Lama runtuh dan tidak boleh dilalui pada masa ini.
Sementara itu, bekalan air bersih di TENOM dijangka pulih sebaik kerja-kerja penyelenggaraan paip utama LRA Senagang siap. Paip itu terputus akibat runtuhan tanah di jalan Kampung Pangalat dan Pamilaan baru-baru ini.
Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Haji Masood berkata, kerja-kerja pembaikan paip utama masih dijalankan di kawasan runtuhan.
Bagaimanapun, katanya, pihak kontraktor mengalami kesukaran membaikinya kerana runtuhan tanah masih bergerak.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu juga menyebabkan kerja-kerja tergendala sebelum ini,” katanya.
Semasa banjir melanda daerah ini pada 9 Mac lepas, bekalan air di sekitar pekan Tenom terjejas 80 peratus disebabkan paip utama LRA Senagang itu putus.
Tambahan lagi, LRA Tenom Lama tidak dapat beroperasi kerana ditenggelami air semasa banjir itu.
Keadaan ketika itu menyulitkan pengurusan lebih 1,000 mangsa banjir di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).