Kota Kinabalu: Kerajaan perlu menyediakan insentif baharu bagi membolehkan sektor perniagaan terus memperkasakan aktiviti ekonomi di negeri ini.
Presiden Dewan Usahawan Melayu Sabah (Deumesa) Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun berkata, peranan kerajaan amat penting dalam memastikan perniagaan dapat diperluaskan lagi seterusnya memberi pulangan terbaik kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Sebagai badan dan pertubuhan perniagaan, kita berdoa agar lebih banyak peluang perniagaan yang bakal dicipta dan diungkayahkan oleh semua lapisan pengusaha dan peniaga membuka lebih banyak ruang dan peluang.
“Pada masa yang sama, kita juga berharap kerajaan akan menawarkan insentif dan tawaran baru bagi memulihkan perniagaan melebarkan dan meluaskan perniagaan yang pada akhirnya akan membantu meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah khususnya,” ujarnya Majlis Iftar dan Solat Tarawih Berjemaah Bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di sini.
Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (Muis), Datuk Seri Yahya Husin, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) Datuk Hasnul Datu Ayub, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Sabah (Perdasama) Datuk Junaidi Abdul Rahman, Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Negeri Sabah (DUBNS) Datuk Abdullah Sibil.
Turut hadir, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kassim Mansur dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Awang Juri Awang Tahir.
Mengenai majlis tersebut, Ag Buhtamam berharap majlis seumpama akan dijadikan program tahunan untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan ahli dewan perniagaan.
“Kesempatan untuk ahli-ahli dan warga perniagaan bertemu dalam majlis serupa ini amat dinantikan dan mudah-mudahan tali silaturahim yang sekian lama terpisah akan kembali semerbak dan terpaut rapi.
“Adalah menjadi hasrat dan harapan kami agar majlis berbuka puasa ini dan solat terawih bersama Tun akan terus menjadi majlis dan acara tahunan di wanjuan perniagaan di negeri Sabah di masa akan datang.
“Majlis ini adalah majlis tahunan yang kita ungkayahkan dan hidupkan kembali setelah terhenti sejak 2016 lagi. Malah, majlis ini mula kita adakan pada 2006 sebelum terhenti pada 2016.
“Asalnya, majlis ini dibuat secara bergilir setiap tahun di antara di Deumesa, DPBS, DUBNS dan Perdasama. Dalam tempoh 10 tahun itu, majlis ini dihadiri dan disempurnakan oleh Ketua Menteri pada ketika itu iaitu Tun Musa Aman.
“Majlis hari ini juga akan disulami dengan penyampaian sumbangan kepada beberapa badan amal. Semoga sumbangan yang kecil ini akan dapat memberi kegembiraan menjelang syawal yang akan datang nanti,” katanya.
Pada majlis itu, beliau dan Arifin mengiringi Tun Musa menyampaikan sumbangan daripada gabungan dewan perniagaan masing-masing berjumlah RM10,000 kepada Rumah Anak Yatim Al-Aman Beaufort, Tahfiz Sepanggar Prihatin Kg Boronuon Telipok dan Kompleks Latihan dan Pemulihan Orang Kurang Upaya Kimanis.
Selain berbuka puasa, Tun Musa turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih bersama kira-kira 500 jemaah.