SABAH menjadi pilihan syarikat produksi antarabangsa dari selatan India untuk menjalankan penggambaran filem terbaharu mereka.
Penerbit V Creations, Prabu Thanu berkata beliau melihat potensi besar negeri ini, terutamanya dari segi keindahan alam semula jadinya, untuk menarik lebih banyak produksi filem dari negara tersebut.
“Kami telah berada dalam industri ini selama lebih 40 tahun dan menjalankan penggambaran di banyak tempat.
“Tetapi tempat ini (Sabah) sangat istimewa bagi kami kerana cara mereka (Lembaga Pelancongan Sabah) menyambut dan menjaga kami dengan sangat baik.
“Ini akan menjadi sebuah filem yang sangat istimewa bagi kami dan juga Sabah. Kami harap filem ini akan membuka peluang besar di selatan India, khususnya dalam industri perfileman,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
V Creations, sebuah syarikat produksi filem yang berpangkalan di Chennai, telah menerbitkan kira-kira 50 filem dalam industri perfileman India.
Antara filem blockbuster di bawah produksi itu adalah Kabali, yang dibintangi oleh bintang legenda Tamil, Rajinikanth, Vijay in Sachein, Thuppakki, Theri, dan Kaakha Kaakha.
Menurut Prabu, filem terbabit akan menjalani penggambaran sepenuhnya di Sabah, dengan beberapa lokasi berpotensi seperti Kota Kinabalu, Semporna, dan Gunung Kinabalu.
“Kehadiran kami kali ini adalah untuk mencari lokasi yang sesuai.
“Sebaik sahaja kami tiba di Chennai, kami akan menyusun lokasi mana yang akan dipilih serta tempoh penggambaran yang diperlukan. Semua ini akan dimuktamadkan kemudian.
“Tetapi buat masa ini, semua tempat yang kami lawati adalah destinasi yang berpotensi. Semua jalan dan kawasan bandar memiliki keunikan tersendiri, khususnya, resort-resort di sini kelihatan sangat cantik.
“Gunung Kinabalu juga sangat menakjubkan, pastinya salah satu lokasi utama yang menjadi pertimbangan kami,” katanya.
Menurutnya lagi, filem itu akan mengangkat genre romantik bersesuaian dengan keindahan negeri ini.
“Sabah adalah tempat yang sangat indah, bersih, dan mesra menjadikannya lokasi yang sesuai untuk filem romantik,” katanya, dan menambah, filem berkenaan bakal membarisi bintang-bintang popular dari selatan India.
Penggambaran dijangka bermula pada Disember tahun ini, tambahnya.
“Termasuk fasa pra-produksi dan pasca-produksi, projek ini dijangka mengambil masa antara lima hingga enam bulan, manakala penggambaran mungkin akan berlangsung selama tiga bulan,” katanya.
Prabu berkata, mereka turut melihat potensi untuk menggunakan pelakon dan tenaga kerja tempatan bagi penggambaran filem tersebut.
“Kami tidak dapat membawa semua kru dari India, jadi kami pasti akan menggunakan tenaga kerja tempatan, termasuk kru produksi, juruteknik, dan bakat tempatan.
“Sebelum penggambaran bermula, kami bercadang untuk mengadakan uji bakat. Sesiapa yang berminat boleh datang dan mencuba nasib untuk berlakon,” katanya.
Tambah Prabu, mereka mungkin akan membawa kira-kira 80 hingga 100 kru dari selatan India ke Sabah untuk menjayakan penggambaran itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit, berkata kerjasama ini mencerminkan usaha STB untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan menerusi industri perfileman.
“Kami ingin mempromosikan Sabah bukan hanya sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga sebagai satu pengalaman yang sukar dilupakan.
“Perancangan utama kami adalah untuk memperkenalkan Sabah kepada pasaran pelancongan di India.
“Kami telah bertemu dengan syarikat penerbangan IndiGo di Delhi serta A-India, juga di Delhi, untuk berbincang mengenai kemungkinan penerbangan terus ke Sabah.
Tetapi buat masa ini, permintaan masih belum mencukupi.
“Kami berharap, dengan kerjasama bersama pemegang taruh serta produksi filem ini, ia akan merangsang minat pelancong dari India untuk datang ke Sabah, dan mungkin juga membuka peluang untuk penerbangan terus ke sini,” katanya.
Menurutnya, STB berbesar hati kerana berjaya menarik minat Prabu untuk datang ke Sabah dan menampilkan negeri ini dalam filem mereka.
“Kerjasama dengan Prabu ini sangat tepat pada masanya dan merupakan kerjasama terbaik yang pernah kami jalinkan dengan pihak dari selatan India dalam bidang perfileman.”
Menurut Julinus, STB bertemu dengan Prabu tahun lalu selepas pameran Outbound Travel Mart (OTM) berakhir.
“Selepas OTM berakhir, kami dijemput oleh Khasturi Tholan (Pengarah Key Term KL) dan Gomanthi Narayanan (Pengarah Key Term Holidays KL) untuk membuat pembentangan kepada 60 pembikin filem di bawah Persatuan Filem Chennai di Chennai.
“Daripada pembentangan itu, kami tidak menyangka ia berjaya menarik minat mereka. Kami rasa bertuah apabila dijemput ke pejabat beliau (Prabu) untuk berbincang lebih lanjut mengenai bagaimana kami boleh merealisasikan impian membawa penggambaran filem ini ke Sabah,” katanya.
Acara itu turut menyaksikan majlis menandatangani cadangan kerjasama antara STB dan V Creations, yang dihadiri oleh tokoh utama seperti pengurus kanan pemasaran STB, Humphrey Ginibun, jurukamera produksi Kailasam Abambaram, penerbit filem Dinesh Babu, serta pengarah SS World Holiday India, Punniya Ramanathan Ravichandran.