SOOK: Pendidikan adalah nadi bagi melonjakkan pembangunan modal insan masyarakat khususnya di Pedalaman yang masih memerlukan akses pendidikan lebih baik.
Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata pembangunan pendidikan merupakan pemacu penting untuk mengeluarkan penduduk di pedalaman Sabah daripada kategori miskin.
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjamin Makanan berkata, kawasan Parlimen Pensiangan merupakan antara yang menerima pembangunan pendidikan paling tinggi.
“Ketika ini terdapat lima sekolah yang sedang dalam pelaksanaan, pertama adalah SMK Nabawan di mana bangunan pusat tingkatan enam bersama dengan kuaters baru sudah mencapai status pelaksanaan 60 peratus dan dijangka siap tahun depan.
“Yang kedua dan ketiga adalah Sekolah Kebangsaan Rancangan Belia Tiulon dan Sekolah Kebangsaan Ambual, masing-masing, yang juga dalam proses pembinaan.
“Yang keempat adalah SMK Terus Madi yang dijangka akan siap pada tahun ini dan kelima adalah SMK Dalit yang dalam proses pembinaan,” katanya selepas Majlis Iftar Ramadan Agrobank 2025, Penyampaian Zakat dan Batuan Persekolahan di dewan SMK Sook pada Sabtu. Katanya, apabila projek ini siap ia akan memberi perkhidmatan pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak di kawasan berdekatan.
“Kesemua lima projek pembangunan pendidikan ini menunjukkan bahawa sebagai wakil rakyat saya sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan sebagai satu langkah untuk kita melonjakkan pembangunan di pedalaman Sabah,” katanya.
Menjawab soalan lain, Arthur berharap lebih banyak pembangunan yang akan datang dengan penaikan taraf Sook sebagai Daerah Penuh.
Beliau berkata, projek pembangunan sedia ada dan yang sedang dalam pelaksanaan juga adalah penyumbang kepada penaikan taraf Sook yang sebelum ini berstatus Daerah Kecil.
Sementara itu, Arthur mendedahkan Agrobank dijangka akan membuka cawangannya di Pekan Sook selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini.
“Ini akan memperkukuhkan lagi kemudahan perbankan sekali gus memperkukuhkan kitaran ekonomi setempat selain menyokong usaha bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan sejajar dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di daerah ini,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu Arthur menyaksikan penyerahan cek replika zakat Agrobank bernilai RM30,000 yang memberi manfaat kepada 300 asnaf di kawasan
Pensiangan yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Risiko Agrobank, Hussein Mullar kepada Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Haslee Sairin.
Turut disampaikan bantuan persekolahan kepada 300 pelajar bernilai RM19,000.
Sementara itu Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penganjuran Majlis Iftar Ramadan itu merupakan satu wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Jelasnya lagi, penganjuran majlis yang dihadiri seramai 700 ini adalah cerminan aspirasi Agrobank yang bukan hanya sebuah institusi yang menyediakan penyelesaian kewangan kepada komuniti tani, tetapi juga komited dalam menganjurkan inisiatif yang meraikan dan memberi manfaat sosial kepada masyarakat setempat.
Hadir sama Ketua Pegawai Risiko Agrobank Hussein Mullar, Pengarah Wilayah Agrobank Sabah Ridwan Tenriranran dan Ketua Polis Daerah Supt Yampil Anak Garai dan pemimpin-pemimpin tempatan.