SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan miliki rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta dalam serbuan pihak berkuasa di sebuah gudang di Jalan Airport Batu 7, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah ACP Ashmon Bajah berkata serbuan yang dilakukan jam 12.50 tengah hari itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman serta Batalion 15 PGA Sandakan.
“Dalam operasi itu, polis merampas sejumlah rokok tidak bercukai kastam serta sebuah kenderaan pacuan empat roda, dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2 juta,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.