Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) RM1,000 untuk semua penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan tahun ini.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan khas itu akan disalurkan dalam dua fasa – RM500 sebelum Hari Raya Aidilfitri dan RM500 lagi untuk Pesta Kaamatan.
Menurutnya, keputusan ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan penjawat awam dan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka.
“Keputusan ini dipersetujui semasa mesyuarat Kabinet hari ini (Rabu). Pembayaran akan dibuat sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.
Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam, dengan harapan bantuan khas ini menjadi pendorong kepada mereka untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, kata Masidi.