TAWAU: Seorang lelaki yang mengamuk dan mengugut untuk membunuh ibu bapanya di Kg Serudong Baru, Jalan Quoin Hill pada 15 Januari lalu, ditangkap polis pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 30an ditahan jam 12.30 tengah hari di sekitar kawasan kampung tersebut oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengamuk di rumah bapanya dan mengacu parang ke arah ibu bapanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
Katanya, kejadian itu menyebabkan ketakutan dalam kalangan ahli keluarganya lalu bertindak membuat laporan polis.
Jasmin berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukanugutan jenayah,”katanya dalam kenyataan, Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar melaporkan sebarang insiden keganasan rumah tangga atau ancaman jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.