SANDAKAN: Keadaan Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini semakin membimbangkan apabila bilik kecemasannya mengalami kebocoran siling dan dimasuki air hujan.
Bangunan lama hospital tersebut juga menunjukkan rekahan serius, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatannya.
Adun Elopura Calvin Chong berkata, masalah ini memerlukan perhatian segera daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kerana ia melibatkan keselamatan pesakit serta petugas kesihatan di HDOK.
“Kebocoran siling di bilik kecemasan menjejaskan operasi rawatan dan keselesaan pesakit dan petugas perubatan apabila musim hujan.
“Selain itu, rekahan pada struktur bangunan lama menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna,” katanya, Rabu.
Difahamkan pihak pengurusan HDOK telah meminta Jabatan Kerja Raya menjalankan kajian serta menyediakan laporan keselamatan bangunan.
Beliau berharap agar masalah seperti kapasiti katil hospital yang terhad, kekurangan doktor pakar dan tempat letak kereta dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan.
“Masalah-masalah ini bukanlah perkara baharu. Ia sudah lama berlarutan tanpa penyelesaian berkesan. Lebih mengecewakan, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, pelbagai pihak berjanji untuk menambah baik sistem kesihatan di Sandakan, khususnya keadaan di HDOK.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini, rakyat masih berdepan masalah yang sama tanpa sebarang penambahbaikan ketara,” tegasnya.