Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki kerana melupuskan kabel curi.
Mohammad Shazri mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin yang dia melakukan kesalahan itu dengan melupuskan segulung kabel wayar PVC 2.5mm dicuri, milik Alim Kasron, pada 22 Dis 2024, jam 1.50 pagi, di sebuah rumah, Jalan Bantayan, Nountun, dekat sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohammad diperintah menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes lain, seorang lelaki didenda RM100 atau penjara tujuh hari kerana gagal memberi penjelasan munasabah mengenai deposit tunai RM2,700 ke dalam akaun banknya, tahun lalu.
Nor Hamry Azam mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana gagal memberikan penjelasan munasabah bagaimana dia memperoleh wang milik Zaika Arun, yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan pada 25 Nov 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa wang pengadu telah dipindahkan ke akaun bank Nor, selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian ketika cuba memohon pinjaman peribadi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri dan Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.