INDUSTRI kreatif harus berperanan melengkapi usaha mempromosikan kekayaan budaya serta tarikan pelancongan Sabah dengan mengetengahkan keindahan destinasi luar bandar melalui karya berkualiti.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata muzik dan filem bukan sahaja menyerlahkan bakat tempatan tetapi turut menyokong usaha memperkenalkan budaya serta lokasi menarik di negeri berkenaan kepada khalayak yang lebih luas.
“Visual sinematik yang menarik dalam sesebuah karya tempatan boleh membangkitkan minat terhadap destinasi yang kurang dikenali dan meningkatkan keterlihatan Sabah dalam kalangan pelancong.
“inisiatif seumpama ini menyumbang kepada sektor pelancongan dengan mempersembahkan kepelbagaian landskap dan pengalaman unik tempatan secara kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Album Digital MTV FH Idol 2 oleh F Harmthon Production Sdn Bhd pada Sabtu.
Turut memperkenalkan dalam majlis sama FH Cinema sebagai platform baharu bagi penggiat seni tempatan di Dewan Perpusatakaan Penampang.
Projek album juga melibatkan penggambaran di beberapa lokasi luar bandar seperti Karanahan View, Kota Belud; Jurassic Land Kiulu; Kokol Haven Resort dan Mandalipau White Water View & Fish Pond yang dilihat berpotensi menarik minat pelawat.
dalam pada itu Joniston berkata kejayaan FH Cinema membuktikan bahawa industri kreatif boleh bekerjasama dengan pemegang taruh pelancongan bagi mewujudkan peluang baharu kepada komuniti setempat.
“Saya berharap FH Cinema terus menjadi platform utama bagi penggiat seni tempatan sambil melengkapi usaha memperkenalkan keunikan Sabah kepada dunia,” katanya.