SUBANG JAYA: Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja tanah berhampiran lokasi kebakaran saluran gas di Putra Heights mempunyai permit yang diperlukan.
Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan dan terlalu awal untuk mengesahkan sama ada kerja-kerja tanah itu menjadi punca kejadian.
“Kami akan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan sama ada terdapat permit dikeluarkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita, sambil menambah bahawa kontraktor itu akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Setakat ini, kami masih dalam fasa siasatan. Kami belum boleh mengesahkan apa-apa lagi.”
Wan Azlan berkata terdapat laporan mengenai kebakaran kecil di beberapa rumah berhampiran lokasi kejadian dan anggota bomba melakukan rondaan selama 24 jam bagi memantau keadaan.
“Jika terdapat bau gas, mereka akan segera menyiasat,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa tiada kes kecurian dilaporkan di kawasan berkenaan setakat ini.
Selain itu, beliau berkata bekalan elektrik ke kawasan terjejas juga ditutup oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada jam 4 petang semalam sebagai langkah berjaga-jaga.